SYARIKAT induk Foodpanda, Delivery Hero mengesahkan sedang dalam perbincangan menjual sebahagian bisnes, terutama di Malaysia dan enam pasaran lain di Asean.
Berita itu dilaporkan majalah bisnes, Wirtschaftswoche yang mengatakan, Grab mungkin membuat bayaran sekitar €1 bilion (RM4.98 bilion) untuk mendapatkan bisnes berkenaan di tujuh pasaran terlibat.
Delivery Hero dari Jerman bagaimanapun menjelaskan, nilai perjanjian itu masih di peringkat perbincangan. Firma itu bercadang menjual aktiviti bisnes di bawah jenama FoodPanda di Singapura, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Thailand.
Foodpanda ditubuhkan pada 2012 dan berpangkalan di Singapura dengan menjalankan operasi di 12 pasaran di Asia Pasifik. Pada 2016, Delivery Hero mengambil alih syarikat tersebut.
PRESTASI FOODPANDA
Berita mengenai rancangan pembelian itu muncul ketika banyak syarikat kiriman makanan berdepan tekanan meraih keuntungan.
Satu pemfailan Foodpanda di Singapura menunjukkan entiti itu kerugian S$42.7 juta (RM146 juta) pada Tahun Kewangan 2022 berakhir 31 Disember dengan jumlah pendapatan S$256.7 juta (RM880 juta)
Di Malaysia, Delivery Hero melaporkan kerugian bersih €67.9 juta (RM339 juta), berdasarkan laporan kewangan 2022 yang difailkan pada April 2023.
Persoalan sekarang ialah bagaimana jualan itu memberi kesan terhadap kolaborasi Foodpanda dengan jenama lain seperti AirAsia yang menandatangani kerjasama pada Mei lalu dengan kedua-duanya menawarkan servis rentas aplikasi iaitu AirAsia Ride pada Foodpanda, dan kiriman makanan aplikasi AirAsia.
Grab juga adalah pesaing besar Foodpanda di enam daripada tujuh pasaran tersebut. Jika proses jual beli direalisasikan, ini menandakan kali pertama Grab akan memasuki pasaran Laos.
SUMBER: MalayMail
Leave a Reply