AKSI Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 di GP Catalunya di Barcelona semalam menjadi insiden mengerikan buat Ducati Lenovo apabila dua pelumba pasukan itu terlibat kemalangan.
Paling mengerikan, juara dunia, Francesco Bagnaia hilang kawalan di selekoh Turn 1 hingga melambung tinggi (highside) dan terjatuh di depan pelumba lain sebelum dilanggar Brad Binder.
Bagaimanapun, Bagnaia disahkan sedar tidak lama kemudian. Malah, bos Ducati, Davide Tardozzi memaklumkan kepada Sky Italia impak kemalangan itu tidak serius seperti dijangka.
Bagnaia mengalami banyak lebam, tetapi pemeriksaan perubatan lanjut menunjukkan tiada tulang patah. Juara Dunia yang sedang mendahului saingan musim ini akan terbang ke Itali bersama pasukan malam ini," kata kenyataan Ducati.
Terdahulu, keputusan awal Pengarah Perubatan MotoGP, Dr Angel Charte mengatakan Pecco mengalami politrauma teruk.
Sebuah motosikal melanggar bahagian femoral dan tibial. Kami sudah ambil x-ray di bahagian tersebut dan mengesan kecederaan kecil yang kami tidak tahu sama ada cedera semasa atau sudah lama. Kami perlu membuat imbasan CAT segera, sebab itu kami sudah hantar dia ke Hospital Besar"
"Pada tahap tengkorak, toraks dan perut, dia normal sepanjang masa. Dia sedar ketika itu. Imej kami lihat adalah daripada radiologi konvensional, jadi sukar memastikan tiada patah tulang. Perlu buat imbasan CAT," kata Charte.
Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti memberitahu Sky Italia, pasukannya sedang memeriksa bahagian kaki Bagnaia yang terjejas selepas beliau mengadu sakit tulang pinggul (coccyx).
Menurutnya, pasukan Ducati juga akan menyiasat punca kemalangan jatuh itu dan enggan mengulas selagi tidak mengetahui punca. Sementara itu seorang lagi pelumba Ducati, Enea Bastianini (foto atas kiri) diberikan penalti kerana menyebabkan kemalangan di Turn 1.
Dalam aksi semalam, juara GP Catalunya dimenangi Aleix Espargaro (Aprilia Racing), disusuli Maverick Vinales (Aprilia Racing) dan Jorge Martin (Pramac Ducati).
BACA >>> Aprilia Uji Casis Gentian Karbon untuk RS-GP
BACA >>> Dorna Mahu Bantu Pasukan Jepun, Elak Tarik Diri daripada MotoGP?
SUMBER: SkyItalia | Crash
Leave a Reply