TOYOTA sinonim sebagai jenama kereta ‘tak banyak ragam’ di pasaran dan label kepercayaan pengguna itu masih kukuh bertahan hingga hari ini, serta diwarisi turun-temurun.
Malah kebolehpercayaan pelanggan terhadap jenama kenderaan adalah sesuatu amat berharga buat Toyota dan menjadi dambaan beberapa pemain automotif lain.
1. REKABENTUK ANGGUN
Bagaimanapun, Toyota tidak mengambil mudah kelebihan dimiliki sejak berdekad tahun, tetapi terus melakukan penambahbaikan dan pembaharuan demi manfaat pengguna.
Ini dapat dilihat menerusi perubahan rekabentuk mengikut peredaran zaman dalam usaha menghapuskan stigma Toyota sebagai ‘kereta pakcik’.
Lihat sahaja barisan model baharu Toyota dengan rekabentuk yang kini menepati selera golongan muda atau berjiwa muda. Salah satunya Toyota Camry 2.5V versi dipertingkat (faclieft) ini yang diperkenalkan sejak Februari 2022.
Kereta versi premium versi diimport dari Thailand ini dibina berasaskan platform Arkitektur Global Baharu Toyota (TNGA) dan menjadi antara model berbaloi dimiliki jika anda merancang memiliki sedan segmen-D.
Sedan itu menerima sentuhan kosmetik lebih segar pada bahagian depan dan belakang yang tampak lebih anggun, agresif dan eksklusif, bersesuaian eksekutif muda sebagai kumpulan sasaran.
Perubahan itu membabitkan kemas kini bahagian depan seperti ruang ambilan udara pada gril dan bilah hitam yang dipanjang hingga sisi bampar.
Lampu depan LED kembar dengan lampu siang (DRL) LED. Lampu belakang LED jenis smoked dan rim aloi 18 inci melengkapkan imej sisi.
Sepanjang tempoh memandu uji Toyota Camry 2.5V facelift ini, sukar untuk saya mencari kelemahan, teutama aspek keselesaan, prestasi enjin dan keselamatan yang didatangkan bersama sedan saiz pertengahan ini.
2. TRENKUASA RESPONSIF, EFISIEN PETROL
Nadi penggerak Toyota Camry 2.5V facelift masih enjin konvensional, jenis 4-silinder sebaris 16-injap 2.5L DOHC dengan teknologi VVT-iE yang membantu mengekstrak output kuasa 209ps (207hp) @ 6,600rpm dan tork 253Nm @ 5,000rpm.
Enjin Dynamic Force 2,487cc dipadankan sistem transmisi automatik 8-kelajuan Direct Shift dengan anjakan gear boleh dibuat manual menggunakan pedal syif atau tombol gear (+ dan -).
Menariknya, kotak gear digunakan memiliki nisbah gear lebih panjang yang membantu hantaran kuasa lebih lancar kepada roda selain menjimatkan penggunaan bahan api.
3. TIGA MOD PEMANDUAN
Jika mahukan pemanduan santai, guna saja mod Normal dan kalau mahu ekonomi, pilih Eco. Sebaliknya, jika mahukan sedan ini lebih responsif, ada juga butang mod Sport.
Semua butang mod pemanduan itu ditempatkan antara tombol gear dan butang brek parkir elektrik (lihat foto atas kanan) yang mudah dicapai tanpa perlu mengalihkan fokus pandangan ke depan.
Perubahan mod dipaparkan menerusi indikator jalur warna pada kluster instrumen hijau untuk Eco, tiada warna (Normal) dan merah (Sport). Pilihan mod Sport akan menganjak jarum meter RPM lebih tinggi dengan tukaran mod boleh dibuat ketika memandu.
Anda boleh juga menggunakan pedal syif untuk menukar gear ketika memandu yang mana sistem akan kembali sepenuhnya kepada D (Drive) apabila mengesan pemandu tidak memberikan respon pedal syif dalam jangka masa tertentu.
4. KABIN MEMANG SELESA
Satu perkara memberi nilai bonus kepada pemilik Toyota Camry adalah keselesaan dalam kabin yang menunjukkan Toyota prihatin terhadap penumpang dalam sedan ini.
Fokus kepada penumpang jarang dipandang sepenuhnya sesetengah pengeluar automotif lain selain hanya mengambil berat hal port USB.
Sebaliknya penumpang Toyota Camry di tempat duduk barisan belakang menerima ekstra manfaat dengan kerusi eletrik boleh laras yang bukan statik dengan sudut sandar terhad.
Sudut miring boleh dibuat mengguankan skrin kawalan di sebalik penyandar kerusi tengah (atas perehat lengan) yang perlu direbahkan. Tempat letak cawan juga disediakan.
Selain melarakan posisi kerusi, penumpang belakang juga boleh mengawal penyaman udara kerana Toyota Camry 2.5V facelift ini menawarkan fungsi penyaman udara tiga zon untuk pemandu, penumpang depan dan penumpang belakang.
Unit infotainmen skrin sentuh 9 inci dilengkapi sistem bunyi JBL dengan sembilan pembesar suara dan ada konektiviti Android Auto dan Apple CarPlay. Jadi tiada masalah membuat sambungan terus ke skrin unit infotainmen untuk akses navigasi, panggila telefon dan aplikasi lain.
5. TEKNOLOGI TSS TINGKATKAN KESELAMATAN
Selain enjin responsif, Camry dilengkapi pakej keselamatan termaju untuk keselamatan pemandu dan semua penumpang menerusi sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS).
TSS ialah pakej teknologi komprehensif untuk bantuan mengelak, menghalang dan mencegah kenderaan rosak atau menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang jika berlaku kemalangan.
TSS berfungsi menggunakan beberapa komponen sensor melalui sistem kamera dan radar.
Sensor kamera di tengah cermin depan, manakala radar disorok di sebalik logo Toyota pada gril depan. Selain itu, TSS juga mendapat input daripada lapan unit sensor pada bampar depan dan belakang.
6. APA KANDUNGAN PAKEJ TSS?
TSS adalah lanjutan kepada pakej asal TSS 2.0 dan menerima penambahbaikan enam ciri utama. Sistem itu menggunakan kamera resolusi lebih tinggi yang ada pada cermin depan dan radar gelombang milimeter untuk meningkatkan lagi aspek keselamatan. Berikut enam ciri tersebut:
Pre-Collision System (PCS)
- PCS direka untuk mengesan kenderaan atau pejalan kaki sama ada pada waktu siang atau ketika dalam situasi kurang kadar pencahayaan.
- Apabila mengesan wujudnya satu potensi pelanggaran, sistem TSS Toyota Camry 2.5V akan mengeluarkan amaran visual dan bunyi serta membrek automatik dalam keadaan tertentu.
- Bukan itu sahaja, pakej TSS menambah baik ciri PCS dengan tambahan dua ciri baharu iaitu sokongan di persimpangan dan bantuan pengemudian kecemasan.
- Di kawasan persimpangan, sistem itu boleh mengesan kehadiran atau kedatangan kenderaan lain termasuk pejalan kaki semasa pemandu Camry membelok.
- Bantuan stereng kecemasan pula direka untuk membantu menstabilkan kenderaan semasa pemandu membuat kendalian kecemasan untuk mengelak objek yang berada di laluan mereka. Ini termasuk tindak balas terhadap pejalan kaki, kenderaan lain dan juga basikal.
Automatic High Beam (AHB)
- AHB menggunakan kamera pada cermin depan untuk mengesan perubahan cahaya luar dengan mengaktifkan lampu suluh tinggi (high-beam) semasa Camry berada di kawasan gelap atau malam.
- Sistem ini secara automatik menentukan pilihan suluhan lampu tinggi atau rendah berdasarkan situasi sebenar di jalan raya.
- Jika kamera depan mengesan kelibat kenderaan lain dari depan, suluhan lampu tinggi akan bertukar kepada suluhan rendah (low-beam). Ini bertujuan mengurangkan kesan silau pada kenderaan lain dari arah hadapan.
- AHB akan aktif jika kelajuan Camry melepasi 30kmj, tiada kenderaan lain di depan atau laluan bertentangan, dan mengesan kekurangan lampu jalan.
Lane Tracing Assist (LTA)
- LTA membolehkan Camry terus berada di tengah-tengah lorong (antara dua garisan jalan kiri dan kanan).
- Sistem LTA menggunakan kamera pada cermin depan sebagai pemantau dan boleh membantu memusingkan sedikit stereng untuk mengelakkan kereta tersasar keluar lorong.
- LTA akan beroperasi secara automatik apabila ciri Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) untuk semua kelajuan dan Amaran Keluar Lorong diaktifkan.
Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) - untuk Semua Kelajuan
- DRCC direka untuk membantu mengesan kenderaan bergerak perlahan dan secara automatik menyelaras kelajuan Camry untuk membantu mengekalkan jarak yang anda tetapkan di antara kedua-dua kenderaan.
- DRCC untuk Semua Kelajuan pula direka untuk mengekori pada kelajuan rendah dan berhenti mengikut kenderaan di hadapan. Malah kelajuan juga diselaras secara automatik untuk dipadankan dengan pecutan dan nyah pecutan kenderaan di depan.
- Sistem itu menggunakan radar dan kamera pada cermin depan untuk tujuan tersebut.
- DRCC mendapat tambahan kelebihan khususnya membabitkan kelajuan pemanduan di selekoh di mana kamera dan sensor akan mengesan selekoh, mengurangkan kelajuan semasa memasuki kawasan selekoh dan kembali kepada halaju ditetapkan sebaik menyusuri keluar selekoh.
7. DUA LAGI CIRI TEKNOLOGI KESELAMATAN PENTING
Ramai pemandu kereta sedar, kemalangan ketika mengundur lebih mudah berlaku kerana kebanyakan pemandu sukar melihat persekitaran belakang. Apatah lagi mengundur keluar dari lot parkir di kawasan sesak.
Toyoya Camry menawarkan ciri Trafik Lintas Belakang (RCTAB) dan Sonar Pelepasan Pintar.
i. RCTAB
- Menggunakan sensor belakang untuk mengimbas keadaan trafik di belakang supaya pemandu dapat mengundur keluar lebih selamat dan membrek automatik jika mengesan risiko perlanggaran. Bampar belakang dipasang empat unit sensor selain kamera pandang belakang.
- RCTAB diaktifkan automatik sebaik saja menolak tuil gear pada posisi R (undur) atau ketika mengundur bawah halaju 8kmj.
- Teknologi itu mampu mengesan kenderaan lain yang menghampiri antara halaju 8-28kmj.
ii. Sonar Pelepasan Pintar (Intelligent Clearance Sonar, ICS)
- ICS menggunakan sensor untuk memberi amaran jika pemandu terlalu dekat dengan objek, termasuk membantu mengurangkan kuasa enjin dan membrek automatik jika perlu.
iii. Monitor Pandangan Panoramik (Panoramic View Monitor - PVM)
- PVM membantu pemandu keluar atau masuk lorong di kawasan sempit seperti lot parkir antara dua kenderaan lain. PVM menggunakan sensor bantuan parkir.
- Ketika mengundur, skrin pada unit infotainmen akan memaparkan dua visual pandangan belakang dan atas (bird eye view) apabila gear dalam posisi R (undur).
Sebenarnya, ini sesi pandu uji kedua dilakukan penulis dalam tempoh setahun dan Toyota Camry ini nyata masih belum mendatangkan rasa bosan memandunya bersama seisi keluarga. Semua penumpang rasa selesa, dan anak-anak pun suka.
Ada pula pakej keselamatan untuk perlindungan tambahan. Apa lagi anda mahu dengan Toyota Camry?
Leave a Reply