SUATU masa dulu, penyaman udara perlu dibeli berasingan jika membeli kereta. Penyaman udara juga dikatakan lebih 'parak' minyak dan sejauh mana benarnya fakta tersebut?
Ada beberapa lagi dakwaan mengenai penyaman udara dan perkara tersebut dijawab Škoda.
Sebelum itu, menurut data Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK), suhu pada Julai 2022 adalah melebihi 40ºC dan tertinggi sejak 2002. Suhu tinggi juga dicatatkan di Britain pada Jun 2023.
Bukan sahaja di Britain, beberapa bulan lalu, negara kita mencatatkan suhu panas hingga Kerajaan tidak membenarkan aktiviti luar kelas dilakukan di sekolah. Malah, sekolah dibenarkan tutup jika suhu 37º selama tiga hari berturut-turut.
Apa Pemandu Boleh Buat?
Merendahkan suhu kabin menggunakan penyaman udara boleh mengurangkan keletihan dan meningkatkan tahap tumpuan.
Bagi kenderaan Škoda, pengeluar automotif dari Republik Czech itu membuat ujian penyaman udara ketat menggunakan empat kebuk cuaca yang boleh menghasilkan suhu antara -40ºC-60ºC.
Lokasi saluran dan aerodinamik dalaman kereta dianalisis mendalam bagi memastikan udara sejuk atau panas dapat diagihkan berkesan, pantas dan senyap serata kabin untuk keselesaan maksimum.
Dengan mengekalkan suhu konsisten dan rendah dalam kereta, pemandu tidak akan berpeluh dan ternyah hidrat. Berikut lima salah faham penyaman udara yang disangkal Škoda UK:
1. Penyaman Udara Meningkatkan Penggunaan Bahan Api
Memang benar penggunaan sistem penyaman udara akan meningkatkan penggunaan bahan api dan juga bateri kenderaan elektrik (EV), tetapi tidak seteruk disangka.
Kompresor menjalankan sistem yang memerlukan tenaga daripada enjin atau motor. Menurut Energy Trust, penggunaan penyaman udara menambah penggunaan bahan api hingga 5 peratus.
Bagaimanapun, faktor lain seperti tayar kurang tekanan, memandu laju, but penuh, rak basikal atau kotak bumbung juga meningkatkan penggunaan bahan api.
2. Penyaman Udara Mendatangkan Kesan Buruk kepada Kesihatan
Menghidupkan kipas udara kereta bagi menyebarkan udara berbanding menggunakan penyaman udara menyebabkan kesan buruk kepada sistem dan berkemungkinan juga kepada penumpang.
Unit penyaman udara menyah lembap udara yang melaluinya dan mencegah pembentukan lembapan dalam kabin dan sistem penyaman udara itu sendiri.
Kegagalan menggunakan penyaman udara dalam tempoh lama boleh mengakibatkan kulapak atau kulat tumbuh dalam sistem dan disebarkan apabila penyaman udara dihidupkan. Penggunaan kerap dan penyenggaraan baik boleh mencegah keadaan tersebut.
Selain itu, mengekalkan suhu kabin dalam kondisi nyaman dan sejuk ketika cuaca panas boleh mencegah situasi mengantuk dan meningkatkan tahap tumpuan pemandu selain memberi keselesaan kepada penumpang.
Sistem canggih Climatronic Air Care dalam model Škoda seperti Enyaq, Karoq, Kodiaq, Octavia dan Superb menggunakan pelbagai sensor yang mengawasi kualiti udara.
Jika perlu, sistem itu akan mengaktifkan fungsi edaran semula dengan menangkap zarah debu halus dan mencegah alergen daripada memasuki kabin dan menyerap bau tidak menyenangkan.
3. Penyaman Udara adalah Ciri Mewah
Setiap kenderaan Škoda daripada Fabia hingga Scala, dan Enyaq hingga Octavia dilengkapi penyaman udara sebagai ciri asas dan pelanggan tidak perlu buat pesanan tambahan.
Suatu ketika dulu penyaman udara dijadikan pilihan pembelian, tetapi sudah janggal pada masa kini.
Apa yang canggih, penyaman udara EV Enyaq boleh dikawal menggunakan aplikasi Škoda Connect dan pemilik boleh menetapkan suhu penyaman udara sebelum memasuki kereta dan memandu.
4. Penyaman Udara Tidak Perlu Dihidupkan dalam Cuaca Sejuk
Apabila musim panas tamat dan cuaca menjadi sejuk, penyaman udara masih ada beberapa kelebihan.
Bukan setakat mencegah pembentukan kulat, kesan nyah lembap penyaman udara akan memberi manfaat apabila penumpang dalam baju basah atau dilitupi salji memasuki kereta.
Penggunaan penyaman udara secara kerap dapat mengekalkan sistem dalam keadaan baik. Sistem penyaman udara adalah jenis tertutup dengan kompresor dan perkakasan lain memerlukan pelinciran.
Tindakan tidak menghidupkan penyaman udara bermakna tiada pelinciran dan boleh menyebabkan kompresor jadi kurang cekap dan komponen lain kering.
5. Penyaman Udara Tidak Boleh Aktif Apabila Kereta Dihidupkan
Ini dakwaan paling popular. Perkakasan elektronik kereta moden lebih tahan lasak dan boleh menampung permintaan dan tekanan lebih tinggi berbanding kereta berdekad lalu.
Dengan sistem pencucuhan moden, teknologi henti-mula dan EV, tiada sebab untuk rasa risau apabila menghidupkan kereta dengan penyaman udara diaktifkan.
BACA >>> Skoda Roadiaq - Model Konsep Kamper Ilham Pelajar Sekolah Vokasional
BACA >>> Magic Eye - Sistem AI Dibangunkan Skoda untuk Selenggara Mesin Kilang!
BACA >>> Sedan Škoda Slavia Buatan India Lancar, Enjin 1.0L Turbo, Manual 6-Kelajuan
BACA >>> Škoda Octavia - Jenama Ikonik yang Sudah 60 Tahun di Pasaran, Pernah Dijual di Malaysia
Leave a Reply