DI SEBALIK dunia kereta sport dan eksotik glamor, jualan segmen itu tidak besar berbanding jumlah populasi global. Jika dikecilkan kepada golongan hartawan sedunia pun nampak seperti tidak setara.
Jenama yang sentiasa menikmati jualan bagus ialah Ferrari dengan jumlah 13,221 unit pada 2022, manakala Lamborghini mencatatkan jualan 9,233 unit yang mana lebih separuh disumbangkan kenderaan utiliti sukan (SUV) hiper Urus.
Prestasi jualan kedua-dua jenama itu membayangkan segmen kereta sport mewah dunia. Porsche berada dalam liga berbeza apabila memasuki banyak segmen kenderaan dengan mencatatkan penghantaran 309,884 unit sepanjang 2022.
Bagaimana pula Lotus? Sinar makin terang nampaknya apabila Lotus mengumumkan pencapaian penggal pertama 2023. Tempahan kenderaan mencecah kira-kira 17,000 unit berbekalkan dua model saja, iaitu SUV elektrik Eletre dan Emira.
Bahang Lotus Eletre (2023) sudah dirasai apabila tempahan pelanggan di Malaysia sendiri sudah melebihi 500 unit. Dengan jumlah begitu banyak, Lotus bakal meningkatkan pengeluaran.
Penghantaran pelanggan di China sudah bermula pada penghujung Mac, manakala pelanggan Britain dan Eropah akan menerima unit mereka musim panas ini (Jun-September).
Giliran pelanggan tempatan pula bermula suku keempat tahun ini. Harga Lotus Eletre yang bermula RM578,000 nyata sangat berbaloi dan terima kasih kepada Kerajaan kerana mengecualikan duti dan cukai.
Selain itu, lebih 2,200 unit Lotus Emira (foto atas) yang dikeluarkan di Britain menyaksikan peningkatan 381 peratus berbanding tahun fiskal 2022.
Berbeza Lotus Eletre yang menerima keistimewaan, Lotus Emira (2022) dengan enjin pembakaran dalaman 3.5L V6 Supercas dijual pada harga RM1.13 juta.
Lotus kini mempunyai 193 bilik pameran serata dunia dan turut berada di Korea Selatan yang menjadi antara pasaran kereta mewah terbesar dunia.
Keputusan mengeluarkan SUV nampaknya mula menunjukkan hasil dan diakui industri apabila meraih sembilan anugerah termasuk SUV Terbaik Tahunan daripada GQ Car Awards. Lotus Emira pula memenangi Kereta Prestasi Terbaik daripada UK Car of the Year Awards.
BACA >>> Kereta Sport Milik Pengasas Lotus Buka Bidaan, Anggaran Harga Lebih RM310k!
BACA >>> Semua Lapan Unit Lotus Evija Fittipaldi (2023) Sudah Habis!
BACA >>> Lotus Emira (2022) Lancar di Malaysia! Harga Mula RM1.13j, Langkawi Semurah RM457k!
Leave a Reply