ORANG ramai yang mahu pulang ke kampung atau lokasi pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini diingatkan merancang perjalanan berikutan peningkatan trafik dijangka mencecah hingga 1.9 juta kenderaan sehari di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pengguna lebuh raya dijangka menghadapi tempoh perjalanan lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan antara 11 hingga 12 Ogos ini berbanding hari biasa.
Bagaimanapun bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa, PLUS membuat persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi dan kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (RnR) agar semua berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, PLUS menghentikan sementara kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 hingga 13 Ogos kecuali melibatkan kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan terlibat kemalangan.
Selain itu, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau dan stesen minyak di RnR serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.
Pengguna lebuh raya digalakkan berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman disediakan rakan niaga di RnR sebelum menyambung semula perjalanan.
Mohd Yusuf berkata, maklumat trafik boleh diperoleh dengan memuat turun Aplikasi PLUS, atau mengikuti akaun Twitter @PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih dan talian PLUSLine di 1800-88-0000.
Leave a Reply