TULAR beberapa foto di media sosial menunjukkan Polis Diaraja Malaysia (PDRM) memasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk mengesan pesalah lalu lintas di lampu isyarat, termasuk menggunakan telefon bimbit.
Berdasarakan sumber dan foto dikongsi media sosial, kamera itu dikatakan dipasang di bandar Miri, Sarawak yang mampu melakukan zum dekat untuk memaparkan kesalahan pengguna di lampu isyarat. Antara kesalahan yang boleh dikesan menggunakan CCTV tersebut adalah melanggar lampu isyarat merah, tidak memakai tali keledar, berhenti di luar garisan berhenti dan kemalangan.
Foto kesalahan ditunjukkan adalah menggunakan telefon bimbit ketika berhenti di lampu isyarat. Ya, ini juga satu kesalahan lalu lintas walaupun dilakukan ketika berhenti di lampu isyarat.
Antara maklumat dapat dikesan kamera AI itu ialah kelajuan semasa, dan nombor pendaftaran kenderaan digunakan.
Bagaimanapun, kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika berhenti di lampu isyarat mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Sesetengahnya mengecam polis kerana terlalu mahu menyaman pengguna hingga terlupa isu lain seperti kondisi jalan.
Walhal, masalah jalan bukan di bawah polis. Malah, menggunakan apa saja peranti ketika di jalan raya memang sudah lama diklasifikasi sebagai kesalahan jalan raya. Cuma sebelum ini belum ada penguatkuasaan menggunakan kamera CCTV seperti di Miri.
Apapun, pemasangan itu masih di peringkat konsep pembuktian (POC) atau masih di peringkat ujian berdasarkan slaid dalam foto tular berkenaan dan masih belum dikuat kuasa sepenuhnya.
SUMBER: FB MiriRecklessDrivers
Leave a Reply