BMW M2 (G87) diperkenalkan pada Oktober 2022 dan menarik perhatian peminat automotif dengan rekabentuk unik tanpa gril ginjal lonjong.
Tidak lama selepas diperkenalkan peringkat global, BMW M2 dilancarkan di pasaran tempatan pada Januari lalu yang ditawarkan pada harga bermula RM599,000.
Sebagai model prestasi, pemilik BMW M2 ada pelbagai pilihan aksesori rasmi M Performance seperti ekzos titanium.
Kepada pemilik yang mahukan sesuatu berbeza, Milltek Sport baru saja melancarkan sistem ekzos prestasi tinggi dan antara terawal memperkenalkan komponen itu.
Kerja merekabentuk dan pembangunan ekzos dijalankan di Pusat Pengeluaran Termaju Milltek Sport di Britain. Langkah pertama bermula dengan pengimbasan tiga dimensi (3D) penuh sistem ekzos asal bagi mengenal pasti pengubahsuaian boleh dibuat.
Milltek juga mengubah rekaan asal dan kini dengan silenser belakang lebih kecil dan muncung ekzos GT115. Sistem ekzos itu memberikan lebih karakter, mempertingkat lagi 'runut bunyi' dan prestasi BMW M2 yang menjadi model M penuh terakhir menggunakan enjin pembakaran dalaman tunggal.
Sistem ekzos Milltek Sport membolehkan pemandu merasai sepenuhnya kuasa 454hp daripada enjin 6-silinder sebaris 3.0L turbo.
Pemilik yang berminat boleh memesan sistem belakang Resonator Tengah M2 dan juga sistem Kawalan Injap Aktif (AVC) buatan khas.
Sistem AVC membolehkan pemandu mengawal sepenuhnya ekzos menggunakan jari melalui integrasi penuh CAN BUS yang mana operasi membuka dan menutup injap ekzos dan kawalan bunyi enjin dibuat melalui butang kawalan.
Selain itu, sistem ekzos Milltek Sport M2 sudah dipasang pada kenderaan demo milik AUTOID dan R44 Performance UK. Milltek Sport juga dalam proses mendapatkan piawaian ECE untuk set ekzos penuh.
Harga set belakang dengan muncung keluli tahan karat bermula £2,628 (RM15,790). Pelanggan juga boleh memilih muncung ekzos lain seperti cerakote black, brushed titanium, burnt/blue titanium, polished dan gentian karbon.
BACA >>> #BikinKereta: Hennessey VelociRaptoR 6x6 (2023) - Modifikasi Ford F-150 Raptor R Lebih RM2j!
BACA >>> BMW Concept Touring Coupé (2023) Kereta Cantik yang Tiada Unit Kedua!
Leave a Reply