PUSINGAN perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) yang diadakan di Litar Mandalika, Indonesia sejak 2021 berisiko dihentikan apabila mencatatkan kerugian besar hingga Rp100 bilion (RM30 juta), menurut CNN Indonesia.
Presiden InJourney, Dony Oskaria berkata, syarikatnya sedang berunding menghentikan perlumbaan WorldSBK akibat kerugian ditanggung disebabkan kekurangan penaja. InJourney ialah syarikat pelancongan milik Kerajaan Indonesia.
Bukan hanya WorldSBK, malah MotoGP Indonesia juga tidak menguntungkan untuk InJourney dengan nilai kerugian separuh daripada WorldSBK, Rp50 bilion.
Bagaimanapun, Dony percaya tidak mustahil mencari penaja yang cukup untuk merapatkan jurang antara kos operasi dan pendapatan penajaan untuk perlumbaan MotoGP di Mandalika.
Sekatan kewangan dihadapi itu adalah sebahagian daripada hutang litar berjumlah Rp4.6 trilion (RM1.4 bilion).
Malah, Litar Mandalika juga berdepan isu permukaan trek bermasalah. Pada ujian pramusim 2022, trek litar tersebut didapati rosak di beberapa tempat hingga perlu dibaik pulih sebelum Grand Prix (GP) diadakan.
Isu lain dibangkitkan adalah tahap kebersihan trek dengan garis lumba (racing line) menjadi sangat sempit, sukar memotong, dan mudah tersasar dari garis yang berisiko besar kemalangan seperti nahas menimpa Alvaro Bautista dalam Perlumbaan Superpole 2023 di Mandalika.
Kejohanan WorldSBK 2023 akan diteruskan hujung minggu ini dengan pusingan GP Britain di Donington Park, manakala MotoGP 2023 akan menuju ke Mandalika untuk GP Indonesia pada 13-15 Oktober ini.
BACA >>> Toprak Kemungkinan Besar Pilih BMW untuk Saingan WorldSBK 2024
BACA >>> Tar Sampai Masuk dalam Sut Lumba, Kualiti Trek Litar Mandalika Membimbangkan
SUMBER: CNN Indonesia
Leave a Reply