PENGGUNA Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan mula membayar tol di Plaza Tol Alam Damai, bermula Jumaat 12.01 tengah malam ini.
Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengguna lebuh raya SUKE sudah menikmati perjalanan tanpa tol selama dua minggu, dari 16 hingga 29 Jun sempena pembukaan Fasa 2 SUKE.
Kenyataan itu memaklumkan kutipan tol melibatkan dua jajaran dari persimpangan Sri Petaling ke persimpangan Cheras-Kajang sudah dibuka kepada pengguna sejak 16 Jun lalu.
Kadar tol di plaza tol kekal sama seperti di Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang mengikut kelas kenderaan:
- Kereta - RM2.30
- Lori - RM4.60
- Treler - RM6.90
- Teksi - RM1.20
- Bas - RM2.30
Kutipan tol sepenuhnya secara elektronik adalah menggunakan kad Touch 'N Go (TnG), SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
PROLINTAS memaklumkan jajaran utama SUKE sejauh 24.4km sudahpun beroperasi, manakala Fasa 3 melibatkan Persimpangan Alam Damai, masih dalam pembinaan dan dijangka mula dibuka suku ketiga tahun ini.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply