KIRA-kira 1.5 juta kenderaan akan memenuhi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha, menurut pengendali lebuh raya berkenaan, ANIH Berhad (ANIH).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ANIH, Imran Gulcharan Abdullah berkata, jangkaan peningkatan berdasarkan lonjakan trafik yang signifikan ketika musim perayaan ini dengan lebih sejuta kenderaan menggunakan KLK, meningkat 70 peratus.
Selain itu, kira-kira 430,000 kenderaan dijangka melalui LPT1 dengan anggaran peningkatan 60 peratus.
Cuti perayaan yang bersambung cuti hujung minggu adalah peluang berharga untuk bersama keluarga dalam tempoh lebih lama. Kami menggalakkan semua pengguna jalan raya mengikuti panduan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selesa," kata Imran Gulcharan.
TTA membabitkan tempoh 27 Jun (hari ini) hingga 2 Julai bertujuan membantu pengguna jalan raya mengetahui maklumat penting mengenai corak aliran trafik bagi pengguna yang merancang perjalanan pada musim cuti Aidiladha.
Imran Gulcharan berkata, trafik padat menuju ke Pantai Timur turut dijangka pada hari puncak seperti hari ini dan esok. Dalam usaha mengurangkan kesesakan musim perayaan, berikut apa dilakukan ANIH:
- Menambah jumlah kakitangan sokongan hingga 20 peratus, iaitu petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC).
- Menempatkan 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di kawasan strategik sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik.
- Membuat persediaan membuka lorong kontra di lokasi sesak dan bersesuaian, serta lorong tambahan tol bagi transaksi manual.
Kami menyarankan pengguna lebuh raya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan amalkan pemanduan berhemah.
"Gunakan kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah apabila perlu. Patuhi tanda jalan, had laju, dan arahan daripada pegawai lebuh raya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan terjamin," katanya.
BACA >>> KTMB Sedia 912 Tiket Khas Balik Pantai Timur Sempena Aidiladha
BACA >>> JPJ Menyamar Jadi Orang Biasa dalam 'Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022'!
Leave a Reply