PENGGANTI model paling laris seantero Malaysia, Perodua Myvi, juga gah dengan julukan Taliban dan King of the Highway sah akan dilancarkan tahun ini, menurut sumber risikan kami yang baru dihubungi, semalam.
Tidak banyak yang didedahkan sumber yang enggan dikenali itu, cuma apa yang dimaklumkan saiz dalaman model pengganti Myvi itu kelak akan tampil lebih luas. Bagaimanapun, kami merasakan maksud luas itu boleh jadi pada pandangan visual sahaja atapun mungkinkah ada perubahan dimensi kereta sama ada luaran atau dalaman?
Menurutnya lagi, Myvi 2017 itu kini sedang dalam fasa kajian dan penyelidikan (R&D) dan dijangka menjengah pasaran menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini, iaitu sekitar September-November 2017.
BAGAIMANA SPESIFIKASI?
Pun tidak didedahkan sumber risikan kami kerana katanya cuma jurutera dan individu tertentu yang dibenarkan menyimpan rahsia tersebut. Tetapi jika melihat spesifikasi Toyota Passo 2016, model Jepun itu dibekalkan enjin petrol 3-silinder sebaris 1.0L 1KR-FE berkuasa 68hp pada 6,000rpm dan tork 92Nm (4,400rpm) dengan transmisi pembolehubah berterusan (CVT) bersama opsyen pacuan roda depan (FWD) dan semua roda (AWD).
Sebagai makluman, Perodua Axia menggunakan enjin DOHC 1KR-DE2 berkuasa 66hp dan tork 90Nm dengan transmisi automatik konvensional 4-kelajuan.
Dimensi Passo 2016 ialah 3,650mm (panjang) x 1,665mm (lebar) x 1,525mm tinggi, manakala saiz Myvi kini ialah 3,695 (panjang) x 1,665 (lebar) x 1,570 (tinggi). Ini bermakna Myvi 2017 akan lebih pendek 45mm, manakala lebar pula kekal sama, dan ketinggian pula direndahkan kepada 35mm.
RUPA LUARAN BERUBAH TOTAL
Myvi 2017 kali ini dikatakan tidak lagi mengekalkan imej lampu vertikal atau menegak. Sebaliknya tampil dengan lampu mendatar, sekali gus memberikan visual rupa kereta yang lebih leper dan lebar.
Kami meramalkan Perodua akan melakukan perubahan minimum pada rekabentuk lampu depan dan belakang dengan mengetengah elemen tajam dan bersegi seperti mana tradisi Myvi sedia ada. Ini termasuk mengenakan kemasan panel krom sepanjang pintu but belakang. Paling pasti, sudah tentu rekabentuk semula set bampar depan dan belakang dengan desain bercita rasa Malaysia. Lampu kabus akan direka lebih besar dan rekaan gril baharu mungkin diberikan kemasan krom atau corak sarang lebah (honeycomb).
GUNA ENJIN BEZZA?
Kami juga tidak menolak kemungkinan Myvi 2017 akan menggunakan enjin 1.3L yang sama seperti Bezza, iaitu 1NR-VE dengan Dual VVT-i berkuasa 94hp pada 6,000rpm dan tork 121Nm (6,000rpm). Apatah lagi enjin itu adalah improvisasi Perodua daripada enjin K3-VE yang digunakan Myvi kini yang pastinya lebih baik, cekap, dan menjimatkan. Transmisi pula kekal jenis konvensional automatik 4-kelajuan, 4E-AT, dan versi manual juga ditawarkan untuk varian paling rendah.
KESELAMATAN DIPERTINGKAT?
Dengan meletakkan Bezza sebagai model penanda aras baharu Perodua, kami menjangkakan varian premium Myvi 2017 akan didatangkan dengan beberapa ciri moden terkini yang tiada pada Myvi sedia ada seperti:
- Masukan pintar dengan punat tekan-mula
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD)
- Bantuan Brek (BA)
- Bantuan Mula-Daki (HSA)
- Kawalan Traksi (TRC)
- Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC)
- Sistem multimedia dengan navigasi dan 'Smart Link', kamera undur
- Bukaan but secara kawalan jauh
Jika Toyota melengkapkan Passo dengan pembuatan frem yang lebih rigid daripada besi ketegangan tinggi, termasuk 6-beg udara (2 depan, 2 sisi dan 2 tirai), apakah Myvi 2017 akan mengikut jejak sama. Tambahan lagi ciri tersebut sudah pun ditawarkan model si abang, Proton Iriz. Apakah Perodua akan melakukan kejutan?
Selamat berteka-teki dan selamat berkereta!
GALERI
Dollah says
Proton Iriz bila nak refine engine & transmisi?
lol says
tahun depan
jhajk says
wewwww