TOYOTA bercadang menghasilkan model edisi terhad Toyota GR Corolla Circuit Edition (2024) yang menerima beberapa penambahbaikan berbanding edisi 2023. Menurut laporan, Toyota mengehadkan jumlah pengeluaran kepada 1,600 unit sahaja.
Toyota GR Corolla Circuit Edition (2024) bakal hadir dalam warna badan eksklusif Blue Flame (biru) dengan beberapa aksen biru khas dalam kabin.
Model hot-hatch Circuit Edition itu dibangunkan berasaskan Toyota GR Corolla dengan memiliki semua ciri menarik yang pernah ditawarkan Circuit Edition edisi 2023. Bagaimanapun, model edisi 2024 masih tetap menerima beberapa penambahbaikan.
Toyota GR Corolla Circuit Edition (2024) hadir dengan bumbung gentian karbon diperkuat, spoiler hitam besar dan diferensial gelincir terhad (LSD) Torsen. Kerusi sport Brin Naub masih dibalut material sued dengan trim kulit tiruan, manakala sistem audio daripada jenama JBL.
Toyota juga dilaporkan mengemas kini bahagian ventilator udara depan dan menala semula casis untuk menghasilkan pengendalian lebih baik seperti menukar cagak (mounting) bolt untuk gear kemudi dan suspensi belakang.
Bahagian roda dipasangkan rim aluminium baharu 18 inci seperti digunakan Toyota GR Corolla Morizo Edition (2023) dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S.
Trenkuasa masih sama 3-silinder turbo berkuasa 300hp dan tork 369Nm dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan kotak gear manual 6-kelajuan. Tiada perincian harga dikongsi setakat ini.
SUMBER: CarScoops
Leave a Reply