SYARIKAT rekabentuk dan kejuruteraan CALLUM dan pembangun bateri ultra laju, Nyobolt memperkenalkan kereta sport elektrik, Nyobolt EV (2024).
Kereta sport elektrik itu direka Julian Thomson, yang juga manta pereka Lotus Cars yang merekabentuk Elise S1 dan sejak itu beliau sentiasa mahu menghasilkan model evolusi Elise dan memodenkannya.
Idea tersebut pernah dilakar pada 2015 apabila majalah AutoCar meminta beliau menghasilkan semula model rekaan masa lalu untuk dipaparkan dalam majalah.
Idea tersebut tersimpan setakat itu saja, tetapi dihidupkan semula selepas Nyobolt menghubungi beliau yang bekerja sebagai pereka bebas pada 2021 (kini Pengarah Rekabentuk GM Advanced Design Europe).
Thomson (foto atas kanan) kemudian menjemput CALLUM untuk sama terlibat hingga projek tersebut menjadi kenyataan. Ian Callum (foto atas kiri) yang menjadi salah seorang pengasas CALLUM ialah mantan ketua Thomson di Jaguar.
Nyobolt EV (2024) tampil menarik sebagai kereta sport gaya klasik dan moden dalam bentuk kompak. Kereta sport ini menggunakan rim 19 inci, profil badan rendah dengan dimensi 100mm lebih lebar dan 150mm lebih panjang berbanding Lotus Elise. Memang cantik dan menyerlah!
Teknologi moden diserlahkan pada lampu LED depan dan belakang, kamera kependaman ultra rendah (ultra-low latency) definisi tinggi sebagai pengganti cermin sisi dan slot pengecas Type 2 pada pilar-B.
Liang pada lampu belakang berfungsi sebagai saluran pelepasan haba dan terdapat jaring pada lampu depan untuk penyejukan tambahan kepada kipas depan.
Melalui kereta elektrik ini Nyobolt memperkenalkan teknologi bateri baharu yang lebih kecil, ringan dan pantas untuk dicas.
Di sebalik komponen elektrik, berat Nyobolt EV (2024) hampir 1,000kg dan dilengkapi bateri 35kWj yang boleh dicas penuh dalam tempoh 6 minit saja menggunakan infrastruktur pengecasan sedia ada. Jarak pemanduan pula hingga 250km saja.
Walaupun tidak jauh, tetapi diimbangkan dengan masa pengecasan singkat. Bateri itu juga sudah melalui kitaran ujian pengecasan pantas lebih 2,000 kali tanpa kehilangan prestasi signifikan.
Nyobolt berjaya merungkai keupayaan tersebut melalui teknologi cas 10c (6 minit) yang boleh digunakan segera dan dipertingkat dengan pantas.
Bekerjasama dengan bahagian rekabentuk dan Nyobolt, bahagian kejuruteraan CALLUM bertanggungjawab merealisasi rekaan Nyobolt EV (2024) seperti membangunkan badan baharu yang dibuat daripada gentian karbon.
Mereka juga perlu menyepadukan pek bateri Nyobolt, komponen trenkuasa voltan tinggi dan sistem, rekaan sistem penyejukan dan membangunkan pendawaian elektrikal untuk prototaip kejuruteraan pertama nanti. Teknologi dibangunkan Nyobolt itu dijangka mula dikeluarkan pada awal 2024.
BACA >>> WEVC eCV1 - Prototaip Trak EV dengan Kerusi di Tengah dari UK
BACA >>> Volkswagen Perkenal Unit Pacuan RWD APP550 untuk Model EV, Tork Setinggi 550Nm!
BACA >>> Semua Lapan Unit Lotus Evija Fittipaldi (2023) Sudah Habis!
Leave a Reply