PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengadakan ujian rintis awam ‘SmartLane’ di laluan USJ-Seafield terutama di waktu puncak bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2023 bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata ujian rintis awam ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.
Ujian rintis awam laluan ‘SmartLane’ ini akan dilaksanakan di laluan USJ ke Seafield di antara KM8.1 hingga KM6.1 (Arah Utara) di lebuhraya ELITE mulai jam 6:30 pagi hingga 9:30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Ahad (kecuali hari kelepasan am).
Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.
“Ketika laluan ‘SmartLane’ ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan,” tambah beliau.
Tambahnya, pertembungan trafik serta keadaan jalan yang sedikit mendaki menyebabkan peningkatan trafik yang tinggi dan sedikit perlahan di laluan tersebut.
PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan untuk melaksanakan inisiatif ini dengan pemantauan oleh anggota Polis, JPJ dan pasukan PLUSRonda serta memasang papantanda trafik dan menyediakan trak tunda tambahan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
Secara puratanya, kira-kira 75,000 kenderaan menggunakan laluan USJ-Seafield di Lebuhraya ELITE pada setiap hari. Daripada jumlah tersebut, 58% menggunakan laluan terbabit secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi,” tambah Mohd Yusuf.
Jelas beliau, laluan ‘SmartLane’ dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan di laluan terbabit pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan ‘SmartLane’ ini melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.
BACA >>> PLUS Uji SmartLane di NKVE dari Setia Alam ke Shah Alam, Atasi Sesak Waktu Puncak
BACA >>> Lima Lebuh Raya Lembah Klang Guna Sistem Bayaran Tol Terbuka September Ini
Leave a Reply