TOYOTA Mirai Sport Concept membuat penampilan global di acara perlumbaan Super Taikyu Fuji 24 Hours di Jepun baru-baru ini. Kereta konsep itu dipercayai model generasi kedua Mirai dan berasaskan teknologi sel bahan api (FCEV).
Generasi pertama Mirai membuat kemunculan pada 2014 dan generasi kedua dengan transformasi lebih moden diperkenalkan pada 2020. Model generasi kedua digunakan sebagai asas pembinaan Sport Concept tidak dilekatkan lencana Gazoo Racing.
Toyota nampaknya tidak mendedahkan banyak maklumat mengenai model Konsep Mirai Sport. Satu rakaman video menerusi saluran YouTube Ride Now mendedahkan rekabentuk luaran kereta tersebut.
Toyota Mirai menerima kit badan lebih sporty dengan bampar hadapan rekaan baharu dan ruang kemasukan udara lebih rendah seperti model Prius.
Ada juga kemasan hitam antara lampu utama. Bahagian belakang menampakkan bampar baharu dengan tambahan peresap serta spoiler baharu.
Warna kereta konsep itu dipercayai Matte Steel (kelabu) seperti model GR Corolla dan ada beberapa panel badan diberi balutan hiasan karbon.
Rim aloi BBS digunakan bersaiz 21 inci dengan tayar Michelin Pilot Sport S bersaiz 245/40R21. Sistem suspensi direndahkan 20 mm untuk menambah baik pengendalian pemanduan. Buat masa ini, tiada maklumat dikongsi mengenai trenkuasa.
SUMBER: CarScoops
Leave a Reply