EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) kini sudah membuka tempahan bagi model Nissan X-Trail serba baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Difahamkan, model pemasangan tempatan (CKD) itu akan mula menembusi pasaran tempatan pada penghujung Januari, tahun depan.
Model yang mula melakukan debut di peringkat dunia pada acara Frankfurt Motor Show 2013, sebelum dilancarkan ke pasaran Jepun pada Januari 2014 bakal hadir dalam dua varian iaitu 2.0L 2WD dan 2.5L 4WD.
Lebih membanggakan, Nissan X-Trail generasi ketiga itu kini menjadi salah satu model SUV terlaris di Jepun. Selain Jepun, ia juga sudah dijual di pasaran Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Filipina, Indonesia dan Thailand.
Hadir dengan rekaan sporty dan digabungkan bersama teknologi inovatif, Nissan X-Trail serba baharu mampu menjadi antara SUV yang serba boleh untuk menghadapi apa jua jenis jalan mahupun perbezaan cuaca.
Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk, Tan Keng Meng berkata, Nissan sudah menjual lebih 250,000 unit Nissan X-Trail serba baharu di seluruh dunia sejak dilancarkan pada Januari lalu.
Tambah Keng Meng, ia juga telah memenangi pelbagai anugerah di beberapa buah negara seperti Indonesia, Mexico dan UK.
" Kami sangat teruja dapat memperkenalkan salah sebuah SUV paling popular di dunia ke pasaran Malaysia dan yakin akan menerajui segmen ini," katanya.
CIRI BAHARU
Selain kehadiran rekaan lebih segar dan dinamik, X-Trail serba baharu turut menampilkan teknologi kawalan chasis termaju yang pertama seumpamanya di dunia.
Antaranya, sistem Active Ride Control yang berfungsi mengurangkan pergerakan atau olengan tubuh kenderaan dirasai oleh pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek.
Manakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau hendak memberhentikan kenderaan.
Sebagai tambahan, sistem Active Trace Control iaitu yang pertama disematkan pada kenderaan Nissan berfungsi mengagihkan tekanan brek kepada roda tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer dan membantu pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh.
DUA VARIAN
Aspek mekanikal, varian 2.0L 2WD dijana unit enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC yang mampu menjana kuasa sebanyak 142hp pada 6,000rpm dan tork 200Nm (4,400rpm).
Bagi varian tertinggi iaitu 2.5L 4WD, ia dikuasakan unit enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 170hp pada 6,000rpm dan tork 233Nm (4,000rpm).
Kedua-dua varian ini dilengkapi kotak gear Xtronic CVT Generasi Seterusnya dengan mode manual 7-kelajuan serta sistem ECO mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik.
Selain itu, varian 2.5L juga dilengkapi dengan sistem All Mode Intelligent 4x4 (4x4-i) yang menawarkan pilihan di antara pacuan dua roda, Auto Mode atau Lock Mode untuk pacuan empat roda sepanjang masa.
Ciri-ciri lain yang memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada pelanggan ialah tempat duduk ‘Sifar Graviti’ yang membantu mengurangkan kepenatan serta sistem yang memudahkan urusan memarkir kenderaan iaitu 360° Around View Monitor, pertama dalam kelasnya.
Nissan X-Trail serba baharu dijangka dijual pada harga bawah RM170,000 untuk varian 2.5L 4WD dan RM150,000 bagi 2.0L 2WD. Lima warna ditawarkan; perak (Tungsten Silver), hijau zaitun (Titanium Olive), hitam (Diamond Black), biru (Graphite Blue) dan putih (Brilliant White).
Sekiranya berminat, tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran Nissan seluruh negara dengan penghantaran kepada pelanggan yang akan bermula pada Januari 2015.
Leave a Reply