PENGELUAR motosikal dari Taiwan yang terkenal dengan skuter maksi, Kymco melancarkan skuter bajet Kymco KRV200 (2023) dengan gaya sporty dan moden.
Menariknya, skuter ini menampilkan ciri moden yang sama seperti abangnya, AK550 tetapi dalam pakej lebih mesra dompet.
Rupa depan Kymco KRV200 (2023) dilengkapi set lampu LED mirip mata yang tajam. Dari segi estetika, skuter itu tampak agresif dan sporty ala siri AK lebih kecil.
Skuter tersebut memiliki dimensi jarak roda 1,400mm dengan tinggi pelana 800mm. Bahagian suspensi menggunakan fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang.
Bahagian brek pula mendapat brek cakera 270mm di depan, dan 234mm di belakang, dan kedua-dua roda dibekalkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Kymco KRV200 menggunakan tayar tiubles dalam saiz 110/70 R13 di depan, dan 130/70 R13 (belakang).
Trenkuasa skuter ini menggunakan enjin 4-lejang 4-injap silinder tunggal 175cc penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api (FI) berkuasa 17hp @ 8,000rpm, dan tork 15.6Nm. Kuasa enjin dikawal Sistem Kawalan Traksi (TCS) yang boleh dinyah aktif menggunakan suis sebelah kiri.
Kapasiti tangki minyak 7.4 liter dan Kymco mendakwa skuter ini memiliki penjimatan bahan api 33km per liter. Kelajuan maksimum pula dalam 107kmj.
Kymco KRV200 (2023) turut didatangkan dengan panel meter LCD digital dengan maklumat takometer, spidometer, odometer, jam, bar petrol, voltan bateri dan indikator suhu penyejuk.
Ciri lain skuter ini ialah sistem penghidup tanpa kunci, sistem lampu LED penuh, dan soket pengecas USB. Dari segi praktikaliti, Kymco mendakwa Kymco KRV200 (2023) mempunyai ruang simpanan bawah pelana yang mampu memuatkan sebuah helmet muka penuh.
Kymco KRV200 (2023) dijual pada harga €4,890 (RM24,020).
BACA >>> Taiwan Perkenal Skuter Kymco Racing Man 150 ABS (2023), Harga RM14k!
BACA >>> Kymco Racing S 150 (2023) Mampu Cabar Yamaha NVX, Honda Vario
Leave a Reply