PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) ditubuhkan pada 1 September 1994 sebagai agensi pemeriksa mandatori terhadap kenderaan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Sebagai anak syarikat milik penuh kumpulan DRB-HICOM Bhd, Puspakom diberi tugas menjalankan pemeriksaan terhadap semua jenis kenderaan, termasuk kenderaan awam atau perdagangan mahupun persendirian bagi memastikan ia benar-benar selamat digunakan atas jalan raya.
Sehingga kini, Puspakom memiliki 55 Pusat Pemeriksaan di seluruh negara. Selain pusat pemeriksaan, Puspakom juga menawarkan perkhidmatan bergerak di 30 lokasi berbeza, termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Sebagai pengguna atau pemilik kenderaan, apakah anda benar-benar tahu fungsi Puspakom dan jenis perkhidmatan ditawarkan?
Di bawah kami senaraikan beberapa maklumat asas yang dipetik daripada laman web Puspakom mengenai peranan dan fungsi agensi berkenaan.
JENIS-JENIS PEMERIKSAAN PUSPAKOM
Terdapat tujuh jenis pemeriksaan ditawarkan Puspakom iaitu:
- Pemeriksaan Awalan
- Pemeriksaan Berkala
- Pemeriksaan Khas
- Pemeriksaan Tukar Milik
- Pemeriksaan Kenderaan Import Untuk Kastam (IVIC)
- Pemeriksaan Sewa Beli (HPI)
- Pemeriksaan Sukarela
Berikut ialah butiran mengenai jenis pemeriksaan dilakukan:
1. PEMERIKSAAN AWALAN
Sebelum kenderaan perdagangan baharu didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), atau sebelum pemilikan kenderaan dipindahkan kepada orang lain, Puspakom perlu memastikan ia mematuhi piawaian undang-undang yang dinyatakan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, Peraturan Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
2. PEMERIKSAAN BERKALA
Pemeriksaan ini mewajibkan setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani Pemeriksaan berkala di PUSPAKOM setiap 6 bulan, untuk memperakui pematuhan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987. Semasa pemeriksaan, Puspakom akan memastikan ia benar-benar selamat digunakan sebelum dibenarkan bergerak atas jalan raya.
3. PEMERIKSAAN KHAS
Jika sesebuah kenderaan perdagangan atau persendirian mengalami perubahan aspek spesifikasi enjin, casis atau badan, atau naik taraf berat muatan, ia perlu menjalani pemeriksaan khas di Puspakom. Ini ialah keperluan undang-undang untuk mengesahkan keadaan fizikal dan identiti kenderaan selepas pengubahsuaian dibuat.
4. PEMERIKSAAN TUKAR MILIK
Sebelum pindah milik, semua kenderaan persendirian perlu menjalani pemeriksaan mandatori. Pada akhir pemeriksaan, Puspakom akan mengeluarkan laporan B5, yang diperlukan JPJ apabila memindahkan pemilikan kenderaan.
5. PEMERIKSAAN IVIC
Puspakom juga berperanan memeriksa kenderaan import sebaik tiba di Malaysia. Pemeriksaan IVIC atau turut dikenali pemeriksaan B6, merangkumi semua kategori kenderaan yang diimport, termasuk kenderaan baharu atau terpakai. Puspakom juga menawarkan pemeriksaan B2 bersama-sama dengan pemeriksaan B6 sekiranya diminta oleh pengimport dan ejen kenderaan.
6. PEMERIKSAAN HPI
Selaras dengan seksyen 4G Akta Sewa Beli 1967, mana-mana individu atau organisasi yang memohon pinjaman untuk membeli kenderaan terpakai perlu mengesahkan kenderaan itu telah menjalani Pemeriksaan Sewa Beli dengan mengemukakan laporan B7 yang dikeluarkan oleh Puspakom. Pemeriksaan ini termasuk 18 pemeriksaan khusus, iaitu gabungan pemeriksaan identiti dan pemeriksaan fizikal.
7. PEMERIKSAAN SUKARELA
Pengguna diseru supaya menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa Puspakom bagi memastikan selamat digunakan dan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Untuk makluman, sekiranya sesebuah kenderaan itu tidak melepasi piawaian keselamatan semasa pemeriksaan, Puspakom tidak berkompromi terhadap mana-mana kenderaan yang tidak selamat bergerak atas jalan raya.
Pihak pemeriksan kenderaan akan memaklumkan sebab kegagalan yang mungkin berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya; cermin gelap, nombor enjin dan casis tidak jelas serta kereta potong dan sambung.
Walaupun Puspakom sudah mengesahkan kenderaan itu selamat, pengguna juga harus melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat seperti ketika mereka datang melakukan pemeriksaan di Puspakom. Ini kerana setiap pengguna mempunyai gaya pemanduan dan kadar penggunaan kenderaan berbeza.
Pemilik kenderaan perlu mementingkan aspek keselamatan seperti sistem brek, keadaan tayar, pelepasan asap dan sebagainya berada dalam keadaan baik dan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika standard itu tidak dipatuhi selepas tarikh pemeriksaan di Puspakom, semestinya ia di luar tanggungjawab Puspakom. Justeru, tidak adil menyalahkan Puspakom jika berlaku kemalangan membabitkan kenderaan komersial kerana ia sudah lulus dari aspek keselamatan di Puspakom. Lebih penting, Puspakom ialah agensi yang komited dalam memberikan perkhidmatan yang telus dari segi aspek keselamatan kenderaan.
KHIDMAT ORANG TENGAH ATAU ‘RUNNER’
Selain itu, isu orang tengah atau 'runner' juga sering dikaitkan dengan integriti Puspakom. Mungkin ada kalangan kita berpengalaman menggunakan khidmat 'runner' ketika berurusan di Puspakom dengan alasan menjimatkan masa dan senang lulus.
Ya, anda berhak menggunakan khidmat 'runner', tetapi lebih baik jika urusan pemeriksaan dilakukan di Puspakom. Kami dimaklumkan Puspakom tidak berkompromi dalam isu rasuah dan tindakan akan diambil sekiranya mana-mana kakitangan didapati melakukan kesalahan.
Malah, Puspakom juga berkerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2011 dalam usaha memastikan syarikat itu bebas daripada unsur jenayah rasuah. Konsepnya mudah, jika tiada orang menawarkan rasuah, maka tiada juga orang yang menerima rasuah.
Jadi, apa kata anda hantar sendiri kenderaan ke pusat Puspakom berhampiran untuk menilai sendiri tahap integriti dan perkhidmatan ditawarkan. Maklumat lanjut berkaitan Puspakom, layari www.puspakom.com.my atau hubungi 1-800-88-6927.
Jai says
Puspakom harus block pemeriksaan untuk e-hailing yang kereta mereka yang dah sampai 9 tahun.Ada pemandu tidak tahu dan memohon untuk membuat pemeriksaan berkala e - hailing dan puspakom pun meluluskan pemeriksaan tersebut dan setelah lulus..i apabila pergi ke JPJ pemandi e-hailing tidak boleh membaharui road tax dan terpaksa membuat pemeriksaan B2 untuk mengubah kegunaan untuk menjadi kereta persendirian.Tidakkah ini membuang masa dan wang?Sebagai penawar perkhidmatan mestilah professional dan juga memberi khidmat nasihat kepada pemandu yang kurang arif TQ.