PENGEDAR kenderaan jenama Higer di Malaysia, GVT Sdn Bhd (di bawah Go Auto Group) melancarkan van elektrik komersial terbaharu, Go Auto-Higer Ace E1 (2023) di Malaysia pada harga bermula RM268,888.
Setiap pembelian diberikan pengecas mudah alih 7kW secara percuma.
Go Auto-Higer Ace E1 (2023) ialah van komersial elektrik pertama jenama itu dengan spesifikasi 5.4-meter 70kWh yang ditawarkan dalam dua versi: van penumpang dan van kargo. Unit pertama van ini sudah diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) penghujung tahun lalu.
Pengarah Eksekutif GVT Sdn Bhd, Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya juga sudah menyerahkan dua unit van elektrik kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP), dan empat lagi unit baharu kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau berkata;
Saya ingin ucap terima kasih kepada Kerajaan kerana memberi dan melanjutkan insentif pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia untuk produk CKD hingga 2027 dan CBU hingga 2025.
"Ini akan merancakkan lagi segmen EV di Malaysia dalam usaha negara untuk bangkit semula fasa pasca Covid-19."
Wan Ahmad berkata lagi, sejajar maklum balas dan permintaan tinggi daripada pelanggan, GVT akan menawarkan versi automatik menjelang penghujung tahun ini.
Hadir dalam 15-kerusi dan kapasiti bateri 70kWh, van komersial ini mampu dipandu sejauh 300km dengan sekali cas penuh mengikut Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC).
Tempoh mengecas penuh bateri mengambil masa kira-kira 75 minit dengan kapasiti pengecas 60kW DC.
Go Auto-Higer Ace E1 (2023) menggunakan bateri jenis litium-ion buatan CATL, iaitu antara syarikat pengeluar bateri terbesar dunia.
Van ini turut mendapat sokongan pasukan servis selepas jualan yang menjadi satu kekuatan dalam pemilihan komponen utama pihak Higer. Soket pengecasan pula menggunakan CCS2 DC dan Type-2 AC (standard Antarabangsa).
Dari segi dimensi, van komersial ini memiliki lebar 1,880mm, tinggi 2,335mm, dan panjang 5,380mm serta jarak roda 3,110mm. Antara ciri lain yang ada ialah rim aloi 16 inci dengan tayar saiz 215/75, unit infotainmen LCD 8-inci dengan paparan DVD (Android player), dan kamera undur.
Go Auto-Higer Ace E1 (2023) dipakejkan bersama 5 tahun waranti kilang atau 150,000km (mana satu tiba dulu), dan waranti bateri juga 5 tahun atau perbatuan 200,000km (mana satu tiba dulu). GVT mempunyai 88 rangkaian servis selepas jualan seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Sebagai pengedar kenderaan komersial di bawah Go Auto Group, GVT juga menjual bas elektrik dan bas diesel, Higer dan Yutong. Setakat ini, GVT sudahpun membekal bas elektrik kepada TNB, dan bas diesel kepada beberapa agensi Kerajaan dan universiti seperti Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Maklumat lanjut mengenai Go Auto-Higer Ace E1 (2023) boleh layari laman web www.goautovan.my atau ikuti media sosial di Go Auto Van.
BACA >>> Go Auto Bakal Pemilik KDA FC?
BACA >>> Go Auto Pamer Kereta Peronda PDRM Baharu kepada Tun M
Leave a Reply