ANUGERAH Kereta Terbaik Tahunan atau Car of the Year (COTY) boleh dianggap sebagai acara berprestij paling dinantikan ramai peminat, pemerhati dan pemain industri automotif kerana mampu menambah keyakinan pengguna terhadap model yang dipilih sebagai juara.
Anugerah COTY tidak mengambil kira harga atau segmen kenderaan tertentu sebagai kriteria utama. Tahun lalu misalnya, COTY 2016 dimenangi Opel/Vauhall Astra dengan mengetepikan pesaing lain yang lebih mahal dan berlainan segmen.
SUV PERTAMA MENANG COTY
COTY 2017 sudahpun dipilih dan diumumkan pada 6 Mac lalu sempena Pameran Motor Antarabangsa Geneva (GIMS) 2017 yang menobatkan Peugeot 3008 baharu sebagai juara dengan mencatat sejarah sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama memenangi anugerah berprestij tersebut.
Keputusan itu diadili 58 jurnalis permotoran Eropah yang memberikan pemarkahan berdasarkan gaya, rekabentuk dalaman dan prestasi. Kemenangan itu juga menjadikan tambahan kepada 20 anugerah yang sedia dibolot Peugeot 3008. Ini ialah kemenangan kelima Peugeot dalam sejarah anugerah COTY.
Peugeot 3008 tampil bergaya dengan ciri canggih seperti PEUGEOT i-Cockpit®, stereng kompak, paparan dongak (HUD) 12.3 inci dan paparan multimedia dengan skrin sesentuh, termasuk pelbagai teknologi bantuan pemanduan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Dato' Samson Anand George berkata, Peugeot 3008 dijangka berada di pasaran Malaysia, tahun ini.
Dengan persaingan sengit daripada 30 model lain dari Amerika, Eropah dan Jepun, Peugeot membuktikan reputasi sebagai jenama unggul dari Eropah.
"Kami teruja untuk memperkenalkan 3008 di pasaran Malaysia pada tahun ini. Melalui pengiktirafan COTY, kami yakin pelanggan tertarik kepada SUV ini."
- Dato' Samson Anand George, COO Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings
KALAHKAN ALFA ROMEO, MERCEDES- BENZ
Peugeot 3008 memenangi COTY 2017 dengan 319 poin mengalahkan tiga lagi finalis hebat lain seperti Alfa Romeo (296 poin) dan Mercedes E-Class (197 poin)
Satu lagi fakta, ini adalah kali kedua Peugeot memenangi COTY dalam tempoh tiga tahun selepas kali terakhir menjadi juara pada 2014 menerusi model hatchback, Peugeot 308. Keseluruhannya, Peugeot sudah memenangi COTY sebanyak lima kali, iaitu pada 2002 (Peugeot 307), 1988 (Peugeot 405) dan 1969 (Peugeot 504).
GALERI
FOTO KREDIT: Auto Express
Leave a Reply