SEBELUM ini kami paparkan mengenai prestasi perniagaan Ducati sepanjang 2022 dan sekarang giliran pemiliknya, Lamborghini. Kedua-dua pengeluar itu pula berada di bawah Volkswagen Group.
Prestasi perniagaan Lamborghini mencatatkan rekod baharu dengan perolehan 2022 bernilai €2.38 bilion (RM11.4 bilion) dengan pendapatan operasi melonjak 56 peratus berbanding 2021.
Angka lebih €2 bilion itu adalah pertama dicapai Lamborghini yang mewakili 22 peratus peningkatan berbanding 2021. Margin operasi 25.9 peratus diterjemahkan kepada pendapatan operasi sebanyak €614 juta (RM2.95 bilion). Tahun 2022 juga menyaksikan peningkatan margin operasi buat kali kelima berturut-turut.
Dari segi jualan, Lamborghini menyerahkan 9,233 unit kenderaan sepanjang tahun lalu, juga rekod baharu yang kali pertama melepasi angka 9,000 unit dalam sejarah pengeluar itu.
Dari segi pasaran, jualan di Asia meningkat 14 peratus, Amerika meningkat 10 peratus dan EMEA (Eropah, Timur Tengah, Afrika) meningkat 7 peratus.
Pelanggan di Amerika Syarikat (AS) paling ramai dengan jumlah 2,721 unit, bertambah 10 peratus berbanding 2021. Pelanggan di China, Hong Kong dan Macau di tempat kedua, sebanyak 1,018 unit dengan peningkatan 9 peratus.
Jerman menyusul dengan 808 unit (meningkat 14 peratus), manakala 650 unit diserahkan kepada pelanggan Britain (meningkat 15 peratus). Pelanggan di Jepun membeli 546 unit Lamborghini (meningkat 22 peratus).
Super SUV Lamborghini Urus menjadi model paling popular dengan 5,367 unit serahan atau 7 peratus bertambah berbanding 2021. Supercar Huracán menduduki tempat kedua dengan 3,113 unit serahan (lonjakan 20 peratus), manakala Aventador yang ditamatkan pengeluaran pada September 2022 di tempat ketiga dengan 753 unit.
2023 ialah ulang tahun Lamborghini ke-60 dengan bermula era baharu buat sejarah pengeluar tersebut. Ini kerana Lamborghini akan memperkenalkan model V12 baharu dan model hibrid plug-in ({HEV) pertama.
BACA >>> SUV Super Lamborghini Urus Performante yang Lebih Laju dan Ringan!
BACA >>> Inilah Objek Seni Aniversari Lamborghini ke-60: Huracán STO Time Chaser_111100, Time Gazer
BACA >>> Hankook Bekal Tayar untuk Kereta Lumba Lamborghini!
BACA >>> Lamborghini Kongsi Foto Supercar Versi Lenjan Off-Road, Huracán Sterrato!
Leave a Reply