PERKHIDMATAN Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Dua dijadualkan memulakan operasi pada 16 Mac 2023 (Khamis ini), membabitkan laluan sepanjang 40.2km dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral.
Laluan Fasa Dua itu melibatkan beberapa lokasi atau stesen hot spot seperti Sungai Besi, Chan Sow Lin dan Ampang Park dengan perkhidmatan stesen pertukaran antara laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, MRT Kajang dan monorel.
BACA >>> RapidKL Mohon Maaf, Tekanan Udara Rendah Punca MRT Laluan Kajang Terjejas
BACA >>> MRT Uji Laluan Putrajaya Fasa 2 Bulan Depan
MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua itu akan dibuka kepada pengguna seawal jam 3 petang pada 16 Mac ini selepas dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Secara keseluruhan, MRT Putrajaya melibatkan laluan sepanjang 57.7km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral dengan 36 stesen, termasuk sembilan stesen bawah tanah dan 49 set tren.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu sudah dibuka kepada pengguna sejak 16 Jun tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, semua tren laluan MRT Putrajaya menggunakan tahap automasi empat (GoA4), iaitu tren kawalan automasi tanpa penggunaan sumber manusia. Sistem automasi itu dilengkapi teknologi terkini yang dikawal sepenuhnya dari pusat kawalan di Sungai Buloh.
Beliau berkata;
Apabila kita menggunakan sistem automatik, macam guna robotik, kita perlu memastikan kemahiran yang ada pada individu mengendalikan sistem itu berada pada tahap optimum."
Stesen Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat Institut Urologi dan Nefrologi dilengkapi kemudahan eskalator, tangga tidak terlalu tinggi dan lantai bergerak (travelator) seperti terdapat di terminal lapangan terbang.
Mohd Zarif berkata, itu antara inisiatif mesra rakyat di stesen berkenaan selepas mengambil kira kepentingan pengguna, khususnya pesakit yang akan ke HKL.
Menurutnya, kaedah pembayaran tanpa tunai menggunakan kad Touch n' Go juga mungkin diperluas menerusi penggunaan kad kredit dan kad debit, tetapi belum diaplikasikan buat masa ini.
Bagaimanapun, pembinaan mesin pembayaran di stesen MRT sudah dilengkapi sistem transaksi pembayaran menggunakan kad ATM atau jam tangan pintar bagi penggunaan pada masa depan.”
Seramai 104,000 pengguna harian dijangka memanfaatkan laluan MRT Putrajaya yang menelan belanja RM30.53 bilion.
BACA >>> MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 Mula Operasi Esok, Siap dengan Bas Perantara ke Stesen
BACA >>> Peta Laluan MRT3 Didedahkan, Bakal Atasi Masalah Pengangkutan Awam Lembah Klang
SUMBER: Bernama
Leave a Reply