PETRONAS diumumkan sebagai penaja utama baharu bagi pasukan MIE Racing Honda Team menjelang Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) FIM 2023 yang bermula di Pulau Phillip, Australia hujung minggu akan datang.
Perjanjian dengan Petronas itu membolehkan MIE Racing mengembangkan projek dan menetapkan beberapa matlamat besar musim ini dan seterusnya.
Honda Petronas MIE Racing akan meneruskan saingan WorldSBK dengan menampilkan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba dari Brazil, Eric Granado.
Musim ini juga menyaksikan debut pasukan Supersport buat kali pertama menerusi pembentukan pasukan baharu Petronas MIE MS Racing Honda Team.
Dalam kelas Supersport, pasukan itu akan menggunakan khidmat pelumba muda berbakat, Tarran Mackenzie dari England dan bakat tempatan, Muhamad Adam Norrodin.
Keempat-empat pelumba bersama pemilik MIE Racing, Midori Moriwaki dan wakil Petronas turut memperkenalkan jentera Honda CBR1000RR-R dan Honda CBR600RR secara maya yang akan berentap dalam kelas Superbike dan Supersport.
Ia memang kebanggaan dan kepuasan sebenar pasukan Honda MIE Racing kerana dapat mengumumkan kerjasama bertahun-tahun dengan Petronas,” kata Moriwaki dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, Petronas amat berbesar hati bekerjasama dengan Midori dan sangat teruja memulakan projek terbaharu ini.
Kami pernah bekerjasama dengan Midori sebelum ini dan kami mengharapkan perkongsian yang berjaya dengan Petronas MIE Racing Honda Team, kerana WorldSBk akan memberi peluang untuk memacu kemajuan teknologi minyak kami dalam sukan permotoran dan meletakkan Petronas sebagai jenama komersial,” katanya.
Dengan kemunculan Petronas, MIE Racing bersedia memberi tumpuan kepada projek jangka panjang lebih luas dan pembangunan 'program akademi' yang bakal menyaksikan rakan kongsinya bergabung tenaga untuk memanfaatkan saingan WorldSBK dan Supersport sebagai platform dan pemangkin untuk program pembangunan bakat di Malaysia.
Usaha tersebut juga membolehkan Petronas mempamerkan kepakaran dan menjalankan ujian serta pembangunan produk bersama pasukan, yang akan membantu memperkasa produk premium syarikat tenaga itu bagi pengeluaran motosikal superbike prestasi tinggi.
BACA >>> Juara WorldSBK 2021, Toprak Sertai Yamaha untuk MotoGP 2023?
BACA >>> Hafizh Sah Sertai WorldSBK Musim Depan!
SUMBER: Bernama
Leave a Reply