ANTARA faktor lonjakan dua jenama Korea Selatan, Hyundai dan Kia adalah keberanian merekrut individu berpengalaman luas untuk berkhidmat dengan syarikat masing-masing.
Pelantikan itu juga menaikkan kredibiliti Hyundai dan Kia di mata pengguna serta diperakui industri. Lihat saja produk buatan Hyundai dan Kia hari ini dan angka jualan dicatatkan.
Bukan saja orang luar, warga tempatan juga berkemahiran tinggi. Pengiktirafan terbaru diraih Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pusat Rekabentuk Global Hyundai dan Genesis, SangYup Lee.
Beliau dianugerahkan 2023 World Car Person of the Year daripada panel juri Anugerah Kereta Dunia (WCA) yang mewakili lebih 100 pakar industri dan jurnalis.
Sebelum Hyundai, Lee pernah berkhidmat di General Motors (GM) dan Volkswagen AG yang mana hasil tangannya dapat dilihat pada Chevrolet Camaro (2010), Bentley Continental GT dan Flying Spur.
Apa membanggakan, pengiktirafan World Car Person of the Year itu diraih Hyundai Motor Group buat kali kedua berturut-turut. Tahun lalu, anugerah itu diberikan kepada Presiden dan Ketua Pegawai Kreatif Hyundai Motor Group, Luc Donckerwolke (foto atas).
Donckerwolke pernah bekerja di Volkswagen Group sebagai ketua pereka Lamborghini, SEAT dan Bentley. Antara model hebat mendapat sentuhannya ialah Lamborghini Diablo VT, Murcielago, Gallardo, Audi A4 Avant, jentera lumba Audi R8 Le Mans dan Audi A2, termasuk Bentley Flying Spur dan EXP 10 Speed 6.
WCA mengiktiraf Lee sebagai individu kreatif di sebalik pelbagai model menarik dan konsep inovatif diperkenalkan pada 2022 seperti Hyundai IONIQ 6, Kona baharu dan N Vision 74.
WCA juga mengiktiraf Hyundai IONIQ 5 (rekabentuk diketuai Lee) tahun lalu menerusi pelbagai anugerah pada Pameran Auto Antarabangsa New York seperti Kereta Terbaik (World Car of the Year), Kenderaan Elektrik Terbaik Dunia (World Electric Vehicle of the Year) dan Rekabentuk Kereta Terbaik Dunia (World Car Design of the Year).
Kelayakan anugerah Person of the Year terletak pada calon yang menyumbang secara signifikan kepada industri automotif global sejak hari pertama hingga hari terakhir 2022.
BACA >>> Kajian: Hyundai Tucson Dipilih Kereta Paling Puas Hati Pembeli UK
BACA >>> UK Lancar Hyundai IONIQ 6 (2023) dengan Harga Mula RM251k, Bakal Masuk Malaysia?
Leave a Reply