SEBELUM Perodua Axia (2023) diperkenal, ramai berkongsi lakaran model kompak itu yang sebenarnya lakaran ubah suai grafik daripada Toyota Aygo X.
Jika Axia dan kembarnya, Agya dan Ayla mewakili segmen-A trio Perodua, Toyota dan Daihatsu di dua negara Asia Tenggara, Aygo X pula disasarkan kepada pengguna di Eropah yang dibangunkan sebagai crossover kompak bandar.
BACA >>> #Perbandingan: Inilah Beza Luaran Perodua Axia X (2023) vs Axia GXtra (2019)
BACA >>> #Perbandingan: Beza Luaran Perodua Axia X vs Perodua Axia AV (2023)
Axia dan Aygo X menggunakan enjin 1,000cc, tetapi berbeza dengan Perodua Axia dibekalkan enjin 1KR-VE, manakala Toyota Aygo digerakkan enjin 1KR-B52.
Enjin 1KR-VE adalah versi ubah suai enjin 1KR-DE2 yang digunakan Perodua Axia generasi pertama (sebelum facelift), manakala 1KR-B52 pula diubah suai daripada enjin 1KR-FE yang digunakan pada Toyota Aygo (2005 - 2021).
Mengenai kuasa, enjin Axia menghasilkan 67hp dan tork 91Nm, manakala Aygo memberikan output 72hp dan tork 93Nm.
Bagi pasaran Eropah, Toyota baru saja memperkenalkan Toyota Aygo X Air Edition (2023) dalam pilihan warna baharu Brass Gold. Warna emas itu adalah tambahan kepada edisi istimewa dilancarkan pada November 2022, iaitu Juniper Blue, Chilli Red, Ginger Beige dan Cardamom Green.
Selain warna badan dwi-tona, pereka Toyota menyerikan dua rongga rim Aygo X dengan warna sama seperti badan yang mana rim hitam kusam nampak padat. Memang benar kerana ia bersaiz 18 inci!
Warna badan diteruskan pada ruang kabin dengan warna sama, iaitu atas pintu, sekeliling ventilator penyaman udara dan frem konsol tengah. Balutan kerusi turut dihias seperti warna luar.
Selain rekabentuk funky, Toyota Aygo X Air Edition (2023) dilengkapi bumbung kanvas boleh buka sebagai ciri standard. Konsep sebegini mengingatkan penulis kepada kemeriahan ubah suai Perodua Kancil-Daihatsu Mira satu masa dahulu.
Toyota Aygo X Air Edition (2023) diasaskan daripada varian Aygo X Edge dan berkongsi spesifikasi sama seperti unit infotainmen skrin sentuh 8 inci dengan konektiviti telefon pintar (Apple CarPlay dan Android Auto), wiper cermin automatik, kamera undur, lampu kabus depan, dan sensor parkir depan dan belakang.
Dari segi keselamatan, Toyota Aygo X Air Edition (2023) dilengkapi teknologi bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) yang terdiri daripada Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Bantuan Stereng Kecemasan (ESA), Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB), Kawalan Jelajah Adaptif Pintar (IACC), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Bantuan Isyarat Jalan Raya (RTA).
Hatchback ini turut dilengkapi sistem Amaran Pemandu (DA) yang mengeluarkan penggera jika sistem mengesan pemandu dalam keletihan atau hilang fokus.
Selain pelbagai ciri unik, pembelian Toyota Aygo X Air Edition (2023) juga menarik, iaitu melalui laman web Toyota UK. Harga model manual ialah £19,365 (RM104,135) dan £20,545 (RM110,450) untuk automatik.
BACA >>> UMWT Lancar Toyota GR Supra, GR86, GR Corolla, Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport (2023)
BACA >>> Model Lumba Toyota GR Supra GT4 Evo (2023) Siap Sedia Tambah Trofi, Harga RM875k!
Leave a Reply