SYARIKAT pengeluar alat ganti automobil, Takata Corp mengaku bersalah dan bersetuju membayar penalti AS$1 bilion (RM4.44 bilion) berhubung isu skandal letupan beg udara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 16 kematian dengan majoriti kes berlaku di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, isu skandal tersebut dijangka semakin rumit berikutan keputusan peguam plaintif yang mahu mengheret lima pengeluar utama automobil yang dipercayai berdegil menggunakan beg udara yang rosak walaupun sudah mengetahui risiko bahaya produk tersebut hanya kerana mahu mengurangkan kos.
Mengenai pengakuan bersalah itu, Takata mengakui sengaja menyembunyikan bukti tentang terdapat jutaan peledak (inflator) beg udara yang boleh meletup kuat dan membuatkan kanister logam pecah hingga menyebabkan pemandu dan penumpang cedera atau maut.
PANGGIL BALIK TERBESAR DALAM SEJARAH AS
Kerosakan inflator disebut sebagai punca kematian 11 mangsa di AS dan lebih 180 kecederaan seluruh dunia, sekali gus menyebabkan banyak pengeluar yang menggunakan beg udara Takata bertindak memanggil balik kereta mereka. Proses panggil balik itu mencatatkan rekod terbesar dalam sejarah automotif AS yang membabitkan 42 juta kenderaan dan lebih 69 juta inflator.
Pengakuan bersalah dibacakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Takata, Yoichiro Nomura dalam kamar mahkamah persekutuan Detroit dan beliau turut bersetuju bahawa Takata akan dijual atau bergabung dengan syarikat lain.
Penalti dikenakan termasuk AS$850 juta (RM3.78 bilion) yang akan dipulangkan kepada pengeluar, AS$125 juta (RM556 juta) kepada mangsa dan keluarga, dan AS$25 juta (RM111 juta) sebagai denda perlakuan jenayah.
Sementara itu, dalam satu lagi kes berlainan, tiga bekas pegawai eksekutif Takata didakwa atas pemalsuan laporan ujian, tetapi ketiga-tiga tertuduh masih di Jepun.
BACA >>> 7 Perkara Penting Yang Perlu Anda Tahu Tentang Isu Beg Udara Takata
DEGRADASI BAHAN KIMIA
Inflator Takata menggunakan ammonia nitrat bagi menghasilkan letupan kecil untuk mengembungkan beg udara apabila berlaku perlanggaran. Namun, apabila terdedah kepada suhu tinggi dan kelembapan, bahan kimia tersebut mengalami proses degradasi dan bertindak balas terlalu pantas dengan menyebabkan letupan terlampau kuat hingga memecahkan kanister logam yang disimpan di sebalik penutup stereng.
Di AS sahaja, sebanyak 19 pengeluar automobil memanggil balik produk mereka, manakala jumlah inflator yang dipanggil balik seluruh dunia mencecah lebih 100 juta unit.
Bagaimanapun, penalti dikenakan itu masih kecil jika mahu dibandingkan denda AS$21 bilion (RM93 juta) yang perlu dibayar Volkswagen berikutan skandal penipuan emisi diesel.
BACA >>> Jurutera Volkswagen Mengaku Jadi Dalang Skandal Emisi Diesel
BEG UDARA TAKATA DI MALAYSIA?
Di Malaysia, Honda Malaysia antara pengeluar yang paling terjejas teruk dengan merekodkan tiga kematian membabitkan pemilik kereta jenama itu akibat insiden letupan beg udara.
BACA >>> Lagi Kemalangan Maut Akibat Beg Udara Honda Meletup
Susulan insiden berkenaan, Honda Malaysia melancarkan operasi panggil balik besar-besaran untuk menukar inflator beg udara secara percuma, termasuk membuka hab bergerak. Antara pengeluar lain yang turut memanggil balik produk ialah Toyota, Nissan, Mitsubishi dan Mazda.
SUMBER: Fox News
Leave a Reply