DI EROPAH, Kia mempunyai siri model khas, dinamakan Kia Ceed yang terdiri daripada tiga versi berbeza Ceed, Proceed dan Xceed.
Siri Kia Ceed generasi kedua (2012 - 2018), dan ketiga (2018 -) mendapat sentuhan pereka terkenal yang siapa lagi jika bukan Peter Schreyer.
BACA >>> Tiga Ketua Pereka Hebat Ini Cetuskan Kebangkitan Volvo ke Persada Dunia
BACA >>> Audi TT Final Edition (2023), Unit Istimewa Sempena Tamat Model Ikonik, Harga Mula RM221k
Satu ciri utama siri Kia Ceed adalah tiada gaya model sedan ditawarkan. Ini boleh difahami berdasarkan cita rasa pengguna Eropah. Justeru Kia Ceed generasi ketiga dibuat dalam versi hatchback 5-pintu (Ceed), sportswagon (ProCeed) dan crossover (Xceed).
Bagi model 2023, Kia UK kembali memperkenalkan varian tertinggi GT-Line S untuk Ceed (jingga) dan ProCeed (biru) yang dilengkapi sistem transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan.
Model Kia lain seperti Ceed 2, Ceed GT Line, Ceed 3 dan Proceed GT-Line menggunakan transmisi manual 6-kelajuan sebagai ciri standard. Transmisi itu menggerakkan input daripada enjin 1.5L T-GDi (turbocharged gasoline direct injection) yang menghasilkan kuasa 158hp.
Menggunakan transmisi DCT, Kia Ceed GT-Line S (2023), foto atas, mampu memecut 0-100kmj sepantas 8.4 saat dan bertambah 0.2 saat untuk Kia ProCeed GT-Line S (2023) dengan kelajuan maksimum 209kmj.
Transmisi DCT dibangunkan sendiri Kia dengan objektif memberikan bahan api lebih cekap dan mengekalkan karakter sporty transmisi manual apabila pemandu mahu menukar gear sendiri. Berikut ciri istimewa Kia Ceed GT-Line S (2023):
- Mendapat rim aloi premium 18 inci, bumbung suria panoramik, dan kerusi kulit hitam dan sued.
- Diberikan kerusi elektrik boleh laras dengan fungsi memori (pemandu).
- Sistem bantuan parkir pintar (SPAS) dengan sensor depan dan belakang.
- Kunci pintar dengan butang mula-henti (start-stop).
- Sistem audio premium JBL dengan lapan pembesar suara.
- Pengecas telefon pintar wayarles.
- Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW).
- Kerusi dengan fungsi pemanas (bahagian belakang luar).
- Kawalan Jelajah Pintar (ACC) dengan fungsi henti-mula.
- Mod pandu Normal dan Sport.
- Pedal syif.
Sementara itu, crossover Kia XCeed GT-Line S (2023), foto atas, yang mula diperkenal pada 2022 turut menerima pilihan transmisi DCT buat kali pertama. Model ini sebenarnya paling popular yang membabitkan hampir separuh keseluruhan jualan siri Ceed.
Kia XCeed juga istimewa dengan tawaran model hibrid plug-in (PHEV) yang boleh dipandu sejauh 48km menggunakan mod elektrik penuh. Secara keseluruhan, siri Kia Ceed menjadi penyumbang utama kejayaan jangka masa panjang Kia UK.
Pada 2022, siri Kia Ceed dengan hampir 20 peratus pegangan jualan membantu Kia mencapai angka jualan lebih 100,000 unit dalam tempoh setahun, yang juga menjadi rekod baharu Kia.
Ketiga-tiga varian GT-Line S untuk Ceed, ProCeed dan XCeed (DCT) dijual pada harga £31,145 (RM166,120), £32,245 (RM171,990) dan £31,495 (RM168,010).
BACA >>> Ketua Pereka Kia, Karim Habib Kini Naik Pangkat Naib Presiden Eksekutif
BACA >>> Kia Stinger Tribute Edition (2023), Hanya 1,000 Unit Dikeluarkan Sempena Tamat Pengeluaran
BACA >>> Kia Sorento (2023) dalam Pilihan Enjin Petrol, Diesel Buka Tempahan, Harga Anggaran RM220k
Leave a Reply