PELANCARAN Perodua Axia baru-baru ini nyata merancakkan kembali pasaran automotif negara apabila berjaya mencuri perhatian ramai sehingga memerlukan pihak Perodua berusaha lebih keras bagi memastikan setiap tempahan dapat dipenuhi.
Buktinya, kita dapat lihat lambakan Axia di jalan raya. Selain itu, Perodua turut mengambil inisiatif dengan bekerjasama rapat bersama pihak vendor bagi memastikan proses pengeluaran dapat berjalan lancar.
Jadi, apakah kehebatan Axia sehingga ia berjaya mencuri perhatian ramai? Apa faktor utama yang membuatkan pengguna memilih Axia sebagai kereta pilihan?
Bagi menjawab persoalan itu, saya diberi peluang pandu uji Perodua Axia Standard G transmisi automatik selama seminggu bagi berkongsi pengalaman pemanduan sepanjang mengemudi 'si cilik' itu.
Untuk makluman, Perodua Axia hadir dalam empat varian: Standard E, Standard G, Special Edition (SE) dan Advance. Perbezaan utama antara kesemua model ini sudah semestinya melibatkan aspek rekabentuk luaran dan spesifikasi.
Sebelum Perodua Axia dilancarkan secara rasmi, banyak ‘gambar curi’ 'dihidangkan' buat tontonan umum di dalam laman sesawang automotif tempatan yang dinanti-nantikan keluaran model ini.
Boleh dikatakan daripada kedai kopi Ali hingga ke kopitiam, topik ini hangat jadi perbualan mereka. Macam-macam cerita kita boleh dengar. Ada yang kata menawan dan Tidak kurangnya masih mengkritik kereta buatan Malaysia ini.
Jika tidak perasaan, pasti ingat mereka yang membincangkan perkara ini adalah jurutera Perodua. Manakan tidak, mereka boleh bercerita sehingga ke bahagian enjin. Hebat-hebat!
Kini, segalanya terjawab apabila Perodua melancarkan model terbaharunya, Perodua Axia yang dijual bermula pada harga RM24,600 hingga RM44,470.
LUARAN - Bukan lagi seperti 'tin Milo'
Seperti biasa sebelum pandu uji, saya sering melihat luarannya terlebih dahulu. Bukan apa, saja nak lihat apa keistimewaannya sebelum memulakan sesi pandu uji.
Melihat aspek rekabentuk, Axia sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan model Daihatsu Ayla. Namun, rekabentuk dalaman dan luarannya menerima rekaan baharu hasil idea jurutera Perodua sendiri.
Bagi varian Standard E dan G, rekabentuk luarannya tampak seakan sama seperti 'abangnya' iaitu Myvi. Lebih penting, rekabentuk Axia tidak lagi hadir seperti 'tin milo' seperti mana yang diperkatakan sesetengah pihak.
DALAMAN - Keluasan membanggakan
Selesai melihat dan menyentuh bahagian luaran, saya memasuki ruangan kabin pula bagi melihat apa ciri ditawarkan pada varian ini. Sebaik melabuhkan punggung, saya dapat merasakan keluasan kabih yang agak luas.
Ya betul, Axia adalah lebih luas dan besar berbanding model Viva. Begitu juga berada di bahagian belakang, kelegaan pada ruang kaki nyata selesa walaupun kerusi hadapan ditolak sepenuhnya.
Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa ia setanding dengan Myvi. Ruangan but belakang pula menawarkan keluasan sehingga 260L, iaitu lebih besar daripada model Viva dan Myvi. Mudah kata, ia mampu memuatkan empat bagasi pada satu masa sama. Ruangan papan pemuka pula tampak ringkas dan mudah dikendalikan.
Lagi satu, kualiti Axia juga turut dipertingkatkan. Hanya dengan menutup pintu yang solid bunyinya, kita sudah boleh kesan ketelitian dalam menghasilkan kualiti terbaik.
PRESTASI - Kecil-kecil cili padi
Menyentuh kepada nama Axia, perkataan ‘Axia’ (disebut a-zee-a) dipilih dengan menggabungkan perkataan Asia, di mana ‘X’ sebagai angka roman bagi nombor 10 yang mewakili model ke-10 Perodua.
Hasil janaan enjin 1KR-DE2 3-silinder bersesaran 1.0L, Axia mampu menghamburkan kuasa 66hp pada 6,000rpm dan tork puncak 90Nm (3,600rpm). Dengan bantuan kotak gear automatik 4-kelajuan, ia mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 20.1km per liter manakala 21.6km per liter bagi transmisi manual 5-kelajuan.
Sepanjang mengemudi 'si cilik' ini, saya dapat merasakan 'feel' pemanduan adalah lebih baik daripada Viva.
Memandangkan Axia adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama Perodua, tujahan kuasa disalurkan agak perlahan dan perlu lebih bekerja keras sebaik saja pedal minyak ditekan sepenuhnya. Maklumlah, kereta jimat minyak memang begitu.
Tindak balas stereng cukup responsif dan mudah dikendalikan seperti yang diperlukan pemandu. Jika dibandingkan dengan Viva, saya dapat merasakan olengan badan (bodyroll) bertindak cemerlang dan tidak terasa bergoyang saat 'membelasah' jentera ini.
Pendek kata, ia masih mampu menawarkan pemanduan bertenaga dan menyeronokan.Cuma, saya merasakan sistem suspensi agak keras selain bunyi enjin sedikit bising dan kedengaran dari dalam kabin ketika pedal minyak ditekan rapat. Aspek keselamatan, Axia turut mendapat pengiktirafan 4-bintang daripada ASEAN Ncap.
Axia Standard G dijual pada harga RM33,200. Lebih menggembirakan, buat pertama kalinya, Perodua menawarkan jaminan lima tahun atau 150,000km perbatuan (mana-mana tiba dahulu) bagi semua model Perodua yang ditempah bermula 17 September lalu.
Setelah pelbagai huraian diberikan, terpulang kepada anda untuk memutuskan sama ada jentera ini berbaloi untuk dimiliki?
Secara peribadi, saya berpendapat pengenalan Axia sebagai penambahan dalam ahli famili Perodua dapat memberikan lebih pilihan dalam pasaran automotif negara ini. Ditambah pula dijual pada harga mampu milik. Mungkin sebab itu ia menjadi kegemaran ramai.
Jadi apa tunggu lagi, apa kata anda ke pusat pameran Perodua berdekatan untuk melihat dengan lebih dekat spesifikasi dan kehebatan Perodua Axia. Jika berkenan, bolehlah angkat satu atau masukkan dalam senarai anda.
Leave a Reply