DIHASILKAN antara 1985-2004, enjin 6-sebaris buatan Nissan ini adalah antara contoh enjin yang layak digelar terhebat sepanjang zaman, terutama dalam dunia JDM dan modifikasi kereta seluruh dunia.
Enjin yang boleh diharap, dan lasak dengan prestasi kuasa seimbang membuatkan enjin RB menjadi pilihan dekad demi dekad di kalangan pakar-pakar modifikasi dan kaki kereta. Blok logam-tempa kuat RB membuatkan enjin itu popular (terutama RB26) dengan kemampuan menanggung beban kuasa hingga mencecah 1,000hp!
BACA >>> Nissan Skyline GT-R V.Spec II Nür (2002) yang Masih Berbau Kedai Ini Bakal Dilelong!
Boleh dikatakan RB ialah enjin paling lasak, kuat dan versatil. Sekarang mari kita lihat model-model Nissan yang bertuah dikuasakan enjin RB.
1. NISSAN CEFIRO A31
Dilancarkan pada 1998, Cefiro A31 berkongsi enjin, transmisi dan suspensi belakang yang sama dengan Skyline R32. Didatangkan dalam bentuk pacuan roda-belakang (RWD) dan depan (FWD), sedan Jepun ini menggunakan enjin RB bersesaran besar, 2.5L dengan kod RB25DE. Ini ialah enjin twincam 6-sebaris bukan turbo yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 187hp. Bagaimanapun, Cefiro juga ada versi turbo, iaitu enjin RB20DET.
Anehnya, Nissan juga menggunakan enjin RB24 pada kereta eksport Amerika Latin yang dinamakan semula sebagai Nissan Laurel. Enjin itu berkapasiti 2.4L yang memuatkan kepala silinder daripada RB30E, blok enjin RB25DE/DET dan aci engkol (crankshaft) RB20DE/DET. Kuasa dihasilkan ialah 139hp dan tork 197Nm.
2. NISSAN SKYLINE GTS-R R31
Enjin Nissan RB pertama kali dipasang pada model Skyline generasi ke-7, dikenali sebagai R31. Dikenali sebagai RB20, enjin berkapasiti 2.0L boleh didapati sama ada dalam versi aspirasi natural (NA) atau pengecasturbo. Trenkuasa enjin ini mencapai kemuncak kemasyhuran pada 1987 menerusi RB20DET-R yang menggunakan pengecasturbo tunggal, lebih besar berbanding turbin dalam RB20DET digunakan Fairlady 200ZR.
GTS-R dibina untuk mematuhi homologasi kereta dan enjin bagi perlumbaan Kumpulan A dengan hamburan kuasa setinggi 207hp bagi prestasi jalanan, dan 424hp untuk perlumbaan. RB20 membantu melonjakkan GTS-R merangkul Kejuaraan Kereta Touring Australia 1990 sebelum memberi laluan kepada kemunculan Skyline R32.
3. CALSONIC SKYLINE GT-R R32
Calsonic GTR adalah antara kereta lumba Jepun paling berjaya di litar. Teknologi yang dibawa R32 GTR (seperti pisahan tork elektronik dan sistem stereng empat-roda) menyaksikan pesaing lain seperti E30 M3 dan Ford Sierra RS500 Cosworths terpaksa mengangkat tangan kerana tidak mampu mencabar. Selepas menyinar dalam pelbagai perlumbaan enduran, media Australia memberikan julukan 'Godzilla' yang kemudian menjadi satu tanda nama rasmi yang digunakan saban generasi.
Calsonic R32 menggunakan tren kuasa RB paling popular - RB26DETT, iaitu singkatan kepada Dual-Overhead Camshaft Electronic Concentrate Control System Twin Turbo.
Kuasa enjin ini ditala antara 550hp hingga 650hp bergantung kepada siri perlumbaan. Gabungan kuasa dan berat 1,260kg adalah lebih daripada cukup untuk meletakkan Skyline ini sebagai standard prestasi baharu bagi kereta berkuasa tinggi.
4. NISSAN SKYLINE GTS-T R33
Populariti dikecapi GT-R membuatkan ramai terlepas pandang kewujudan GTS-T. Model ini menggunakan enjin RB25DET berkapasiti 2.5L pengecasturbo berkuasa 246hp dan berada di pasaran pada 1993 dengan memuatkan sistem aci ambilan variabel (variable intake cam) baru bagi meningkatkan kuasa, manakala tork direndahkan dalam julat rev enjin.
Walaupun kurang menyerlah berbanding GT-R, R33 GTS-T masih mampu memecut sepantas 6.2 saat pada kelajuan 0-99.7kmj, cuma 0.2 saat lebih perlahan daripada R32. Sangat sukar menemui model ini dalam bentuk enjin standard kerana rata-ratanya akan diubah suai mengikut spesifikasi GT-R sama ada aspek luaran atau mekanikal. Pastinya ia termasuk dalam spesies Skyline paling rare.
5. NISSAN SKYLINE NISMO 400R
Meneruskan legasi Skyline terdahulu, model edisi terhad GT-R ini adalah hasil pembikinan semula R33 dengan mengambil inspirasi GT-R LM yang menyertai perlumbaan 24 Hours of Le Mans 1994 dan 1995. Memperkenalkan enjin RB-X GT2, Nismo 400R tampil dengan enjin 2.8L dengan hamburan kuasa 395hp dan tork 470Nm bersama paduan aci pacu (driveshaft) karbon dan spoiler belakang (rear wing) gentian karbon, sekali gus menjadi model ini antara Skyline paling ekstrem.
Mengambil kira potensi enjin RB-X dalam siri perlumbaan Le Mans dan Pikes Peak, cuma 44 unit Nismo 400R dihasilkan. Khabarnya, sangat sukar mendapatkan model unit pada harga di bawah AS$85,000 (RM378,038).
Enjin RB boleh dikatakan antara enjin kalis masa yang masih reliabel dalam arena modifikasi kereta. Dengan kapasiti 2.0 hingga 3.0L, enjin ini sentiasa berada di ranking pertama sebagai enjin pilihan pakar JDM. Nissan sendiri tidak menyangka enjin yang dibikin untuk menyaingi enjin JZ buatan Toyota itu, kini menjadi antara enjin legenda yang sangat disegani.
Malah, peminat kereta di Malaysia juga tidak asing dengan keampuhan enjin RB dan ada saja modifikasi dilakukan membabitkan trenkuasa tersebut, termasuk mengahwinkan ia dengan model-model kontinental.
SUMBER: Car Throttle
Leave a Reply