MENJELANG Tahun Baru Cina 2023 yang bakal disambut pada 22 dan 23 Januari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2023.
Mengekalkan tema sama, ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, Ops Bersepadu dan kempen itu akan bermula 18-28 Januari ini dengan melibatkan penglibatan pelbagai agensi bawah MOT dan KKR seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan PLUS Malaysia.
Ada empat teras utama ditekankan, iaitu:
- Pendidikan dan Advokasi
- Penguatkuasaan
- Pencegahan dan Pemantauan
- Penilaian
Seramai 2,000 anggota penguat kuasa JPJ terlibat secara langsung dalam, dan antara inisiatif dilaksanakan adalah:
- Kaedah penyamaran atas bas ekspres
- Pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya.
- Pelaksanaan Perception Of Being Caught (POBC)
- Ops Khas Motosikal
JPJ juga sudah mengadakan Pra Ops Tahun Baru Cina, bermula 14-17 Januari ini melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 77
depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bertujuan memastikan bas ekspres sentiasa berada dalam keadaan layak berada atas jalan (roadworthiness).
LARANGAN KENDERAAN BARANGAN
Seperti setiap tahun, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga dilaksanakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan, iaitu:
- 20-21 Januari (sebelum)
- 24-25 Januari (selepas)
Larangan tersebut bertujuan mengelak risiko nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik kenderaan berat dan kenderaan ringan di jalan raya atau lebuh raya, termasuk mengelak kesesakan lalu lintas.
7 KESALAHAN UTAMA
Ada tujuh kesalahan lalu lintas utama dikuatkuasakan sepanjang Ops Bersepadu dan kempen tahun ini, iaitu:
- Memotong barisan
- Memotong di garisan kembar
- Tidak mematuhi lampu isyarat merah
- Memandu melebihi had laju
- Menggunakan telefon bimbit ketika memandu
- Tidak memakai tali keledar atau helmet
- Memandu di lorong kecemasan
KAWASAN BLACKSPOTS
KKR juga sudah mengenal pasti kawasan kerap berlaku kemalangan (blackspots) menerusi Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya dalam usaha memperbaiki dan memperelok jalan raya Persekutuan bagi mengurangkan kadar kemalangan akibat faktor kejuruteraan jalan.
Sebagai rekod, pada 2022, sebanyak 53 lokasi blackspots sudah dibaik pulih dengan kos RM17.2 juta, manakala 40 lokasi berisiko kemalangan akibat jalan gelap sudah dipasang lampu jalan dengan kos RM4.7 juta.
Program pembaikan dan keselamatan jalan raya 'kos rendah dan berimpak tinggi akan diteruskan pelaksanaan pada 2023 supaya aspek keselamatan jalan raya dapat dipertingkat.
KKR juga sudah mengenal pasti 76 lokasi blackspots tahun ini dengan mewartakan pengurangan had laju
sementara sebagai salah satu langkah keselamatan dan pemantauan, iaitu:
- Pengurangan had laju 10kmj, menjadikan 80kmj (Jalan Persekutuan) dan 70kmj (Jalan Negeri) berkuatkuasa bermula 18-27 Januari 2023.
SASAR KURANG KEMATIAN JALAN RAYA 50 PERATUS
MOT dan KKR serius mahu mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030 berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 (31) Ogos 2020 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Semua pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang akan dikeluarkan syarikat konsesi lebuh raya dalam masa terdekat.
Maklumat trafik terkini boleh didapati daripada Pusat Pengurusan Trafik LLM yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang musim perayaan ini menerusi talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik atau Pusat Khidmat Pelanggan lebuh raya.
Pengguna juga diharapkan dapat menjadi sebahagian anggota penguatkuasa dengan melaporkan kesalahan lalu lintas sepanjang
tempoh Ops Bersepadu dengan menyalurkan aduan menggunakan aplikasi MyJPJ menerusi menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan e-mel JPJ [email protected].
Leave a Reply