APAKAH maksud barang jarang atau rare? Istilah tersebut merujuk kepada barangan yang dikeluarkan dalam jumlah terhad, istimewa, peringatan ataupun sempena ulang tahun sesuatu peristiwa. Memiliki barangan rare adalah satu bentuk kepuasan diri. Jika orang sekeliling anda hairan, ia memang munasabah kerana minat sebegitu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Hobi ini juga mampu memberikan pulangan lumayan memandangkan barangan rare yang disimpan sentiasa jadi buruan peminat. Namun, semua itu bukan alasan mutlak kerana ramai saja pengumpul mengambil keputusan untuk tidak mahu melepaskan barang rare yang dimiliki mereka walaupun ditawarkan harga tinggi.
LOTUS 'RARE'
Jentera Lotus boleh dikategorikan sebagai eksklusif jika mengambil kira jualan tahunan dan koleksi model dikeluarkan. Contohnya, pengeluaran Lotus Evora Sport 410 yang dilancarkan Oktober 2016 hanya dihadkan kepada 150 unit setahun untuk pasaran seluruh dunia.
Jika jumlah itu sudah dianggap rare, maka kereta dihasilkan Lotus Exclusive ini nyata lebih super rare memandangkan satu unit sahaja dihasilkan. Ya, betul, satu unit sahaja! Model dimaksudkan itu ialah Evora Sport 410 sempena memperingati Lotus Esprit S1 dalam filem James Bond, The Spy Who Loved Me yang mencapai usia ulang tahun ke-40.
Lotus Evora Sport 410 edisi khas ini tampil istimewa dengan menerapkan semula beberapa identiti Lotus Esprit S1 dalam filem James Bond serba nostalgik itu. Berikut ialah ciri-ciri istimewa yang tiada pada model Lotus Evora Sport 410 lain:
- Kombinasi warna baharu pada bampar depan.
- But belakang gentian karbon dengan warna putih untuk ilusi kenderaan liftback.
- Grafik nama Evora seperti model Esprit pada pilar B.
- Kombinasi balutan kerusi dan kulit pintu warna Tartan seperti model Esprit S1 dalam filem The Spy Who Loved Me.
- Sulaman merah pada konsol tengah dan papan pemuka yang dibaluti material Alcantara®
CIRI MEKANIKAL SAMA
Selain kelengkapan istimewa di atas, Lotus Evora Sport 410 masih mengekalkan ciri mekanikal sama. Kuasa dijana enjin supercaj 6-silinder bersesaran 3.5L dengan output 410hp pada 7,000rpm dan tork 420Nm, 3,500rpm. Berat badan kereta ini cuma 1,280 km. Dari segi kepantasan, pecutan Lotus Evora Sport 410 dari 0 - 100kmj hanya mengambil masa 3.9 saat.
Lotus Evora Sport 410 edisi filem James Bond, The Spy Who Loved Me ini dibina Lotus Exclusive, yakni perkhidmatan khas untuk pelanggan yang mahukan ciri istimewa pada kenderaan Lotus mereka. Berdasarkan rekod jualan, sebanyak 25 peratus kereta baharu Lotus mempunyai sentuhan buatan sendiri (custom made) yang pastinya menjadikan ia lebih rare!
Leave a Reply