PERODUA Axia (2023) dengan kod enjin D74A dikhabarkan bakal tiba Februari ini dan kami dimaklumkan model itu tidak akan ditawarkan dalam pilihan enjin turbo.
Ini bermakna harapan rakyat Malaysia untuk melihat kereta bandar itu dilengkapi enjin turbo seperti Perodua Ativa terpaksa dilupakan. Malah enjin tersebut dikatakan sama seperti model sedia ada, 1KR-VE atau lebih tepat, enjin aspirasi natural (NA) 1.0L DOHC berkuasa 67hp (50kW) @ 6,000rpm, dan tork 91Nm @ 4,400rpm.
BACA >>> Hon Tanda Terima Kasih, Tapi Pemandu Axia Bengang Sebab Tak Faham
BACA >>> Elak Parkir Dalam Lot OKU Tapi Letak Axia Atas Tanjakan, Apa Motifnya?
Pemilihan enjin 1KR-VE itu juga mengetepikan spekulasi Perodua Axia (2023) serba baharu akan dilengkapi enjin NA 1.2L WA-VE dengan output 84hp @ 6,000rpm dan tork 105Nm @ 4,200rpm, yang juga trenkuasa sama digunakan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize di Indonesia (kembar Ativa).
Antara penambahbaikan paling ketara Perodua Axia (2023) adalah penggunaan bahan api dipertingkat kepada 27.4km per liter (dengan Eco Idle) berbanding 21.6km per liter (automatik) dan 22.5km per liter (manual) untuk model semasa.
Bagi model tanpa ciri Eco Idle seperti varian G dan X, kecekapan penggunaan bahan api tetap dipertingkat kepada 25.3km per liter. Ini bermakna selain berpotensi mengekalkan gelaran kereta baharu termurah di Malaysia, Perodua Axia (2023) juga mampu menjadi kereta petrol paling jimat minyak.
Hatchback segmen-A itu turut menambah baik aspek penyenggaraan menerusi penggunaan bahan penyejuk (coolant) lebih tahan lama yang hanya perlu ditukar pada perbatuan 160,000km. Bagi penukaran kedua dan seterusya, pemilik perlu menukar pada perbatuan 80,000km.
Penukaran minyak transmisi pula masih sama, iaitu setiap 100,000km.
Lagi? Tiada lagi transmisi automatik konvensional 4E-AT, sebaliknya menggunakan kotak gear D-CVT, sama seperti terdapat pada model baharu Perodua, Ativa, Alza dan Myvi.
Sumber kami turut memaklumkan Perodua Axia (2023) dijangka dilancarkan awal Februari depan, atau lebih tepat, sebelum Hari Kekasih (Valentine’s Day) pada 14 Februari. Adakah model cilik itu sesuai dijadikan kekasih pertama untuk graduan dan golongan muda yang baru hendak berkereta?
BACA >>> Perodua Axia Style Masuk Pasaran Sri Lanka, Harga RM89k Sahaja!
BACA >>> #Videotomotif: Inilah 5 Sebab Perodua Axia Sesuai untuk Pemandu Wanita
Leave a Reply