PEUGEOT 2008 adalah crossover atau kenderaan utiliti sukan (SUV) mini terbaharu buatan pengeluar automobil dari Perancis itu. Dalam kelas sama 2008 bersaing dengan Nissan Juke, Ford EcoSport, Mini Countryman dan Renault Captur. Pembinaan 2008 berasaskan model segmen-B, 208 dengan mengadaptasi ciri sama daripada hatchback itu dari segi enjin. Bezanya, 2008 tampil dengan rupa maskulin dan posisi pemanduan tinggi berserta ekstra ruang untuk penumpang dan bagasi.
DALAMAN
Kabin diwarnai suasana elegan dengan rekabentuk harmoni yang menggabungkan ketelitian rekaan dan gaya pencahayaan baru. Rekaan papan pemuka pintar, digelar i-Cockpit menggabungkan posisi pemanduan sporty dan roda stereng kompak untuk pengendalian responsif.
Panel meter sengaja direka sebaris papan pemuka bagi menambahkan fokus pemandu ke arah jalan raya. Namun, bagi pemandu bertubuh Asia seperti saya, saiz stereng kompak 2008 menyukarkan mata untuk membaca maklumat panel meter. Walaupuan posisi stereng sudah dilaraskan supaya selari dengan pandangan mata, bulatan roda stereng masih mengganggu dan saya terpaksa terjenguk-jenguk panel meter untuk memantau kelajuan dan bar petrol. Mungkin rekaan meter cantik begini direka khas buat pemandu Eropah sahaja yang kebanyakannya memiliki ketinggian sekitar enam kaki ke atas.
Paling menonjol sudah tentu panel instrumen dongak (head up) yang memuatkan skrin sentuh multi-fungsi 7 inci berserta sambungan USB dan Bluetooth di tengah papan pemuka yang memberikan pemandu dan penumpang hadapan kawalan penuh ke atas audio dan penyaman udara.
Ciri Bantuan Parkir (PA) membantu pemandu mengakses ruang letak kenderaan antara dua kereta (tengah) secara parkir sisi. Beberapa siri ujian simulasi parkir dilakukan dan nyata ciri PA dalam 2008 begitu berkesan. Namun, beberapa latihan diperlukan untuk anda memahirkan diri menggunakan ciri berkenaan dengan kadar pantas dan tepat. Papan pemuka bertekstur lembut dengan kemasan krom dan hitam kilat bukan sahaja mesra sentuhan, malah sedap mata memandang, sekali gus menyerlahkan kualiti tersendiri 2008 yang tiada pada lawan sekelasnya.
LED biru yang melingkari panel meter, lantai, panel instrumen head-up dan bumbung panoramik menukarkan fiil pemanduan malam menjadi bercahaya dan bertenaga. Kerusi semi-bucket menampilkan rekaan trim Oxford Black Premium dengan kombinasi warna hitam, kelabu dan putih.
Ruang tempat duduk cukup memuatkan lima penumpang dewasa, termasuk pemandu dengan selesa, manakala keluasan but setanding model SUV kelas pertengahan. Kehadiran sil pintu memudahkan kerja memunggah barang dari perut but. Kerusi belakang juga boleh dilipat rata untuk mendapatkan ekstra ruang simpanan. Memang SUV versatil!
PRESTASI
Enjin petrol 1.6L VTi 16 Valve DOHC yang menjadi nadi penggerak utama 2008 direka untuk menghasilkan penjimatan bahan api dan mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2). Kuasa 120hp dan tork 160Nm yang dijana jentera 1.6L berenjin natural aspirasi (NA) bukanlah sesuatu yang mengujakan, tetapi masih boleh dikompromi dari segi prestasi.
Hantaran kuasa daripada transmisi 4-kelajuan agak malu-malu dan sedikit injakan kasar diperlukan untuk membolehkan enjin mendari nisbah gear yang sesuai dengan situasi pemanduan. Serentak itu juga ngauman enjin kedengaran kuat.
Kredit untuk sistem suspensi 2008 dan respon stereng ringan dan pantas yang bertindak cemerlang sepanjang saya dan rakan meredah laluan berbukit ke Genting Highlands. Tayar menggigit kemas permukaan jalan dan setiap halangan selekoh tajam dilepasi dengan meyakinkan walaupun stereng dikilas agak liar dalam beberapa situasi pemanduan.
Cuma telinga sedikit sakit mendengar deruman enjin ketika kenderaan mendaki laluan cerun. 2008 juga agak goyah ketika berdepan permukaan jalan tidak berturap atau tidak rata. Namun, tiada masalah beraksi di atas jalan raya rata. Desiran angin menampar cermin hadapan dapat didengari dari dalam kabin, termasuk bunyian luaran seperti golekan tayar.
KESIMPULAN
Seperkara lagi, walaupun berwajah pacuan empat roda (4WD), tetapi semua varian 2008 didatangkan dalam sistem pacuan roda depan (FWD). Diulangi, pembinaan 2008 adalah berasaskan model hatchback yang lebih menjurus kepada pemanduan urban. Apa yang berbeza, imej SUV sinonim dengan karakter lasak dan ranggi, di mana sesetengah individu menganggap memandu SUV sebagai kenderaan harian mampu memberikan mereka imej elegan, berani dan yakin. Dalam erti kata lain, imej SUV tidak lagi tipikal seperti dulu sebagai jentera 4WD yang dinaiki kontraktor atau tauke balak.
Praktikaliti dan tersendiri adalah ciri khas 2008. Walaupun ada beberapa aspek yang dinilai agak kurang ergonomik bagi pemandu Asia, SUV ini masih berbaloi dimiliki. Saya boleh katakan 2008 menepati piawaian SUV urban sebenar yang bukan hanya tersekat pada rupa sebuah SUV semata-mata.
Versatiliti 2008 memenuhi ciri dimahukan penggemar SUV urban. Saiz but luas, rupa moden dan maskulin, pengendalian pintar dengan ciri keselamatan tinggi dan ekonomi bahan api adalah perkara yang diinginkan pemandu moden hari ini.
SPESIFIKASI
ENJIN 1.6L VTi DOHC 16-Valve
TRANSMISI Automatik 4-kelajuan dengan Tiptronic dan mod Sport
KUASA MAKSIMUM 120hp@6,000rpm
TORK MAKSIMUM 160@4,250rpm
0-100KMJ 11.2 saat
KELAJUAN MAKSIMUM 190kmj
CIRI 6 beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Program Stabiliti Elektronik (ESP), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Aturan Anti-Geliincir (ASR), Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC), lampu kabus selekoh, Bantuan Parkir Pintar (SPA), bumbung panoramik, sistem audio Arkamys 3D dengan 6 pembesar suara, 2 ISOFIX
HARGA RM119,888 (termasuk insurans untuk pembelian individu)
Leave a Reply