PEMANDU rali profesional dan penggerak di sebalik jenama Hoonigan, Ken Block, 55, meninggal dunia akibat kemalangan melibatkan kereta salji, semalam.
Bintang sukan aksi popular di sebalik siri video Gymkhana popular itu juga adalah selebriti sukan terkenal yang bertanding dalam acara papan selaju, papan salji dan motorcross. Beliau juga pengasas bersama bagi kasut jenama DC Shoes.
BACA >>> Audi Bikin Audi S1 e-Tron Quattro Hoonitron dengan Bantuan Ken Block!
BACA >>> #ApaNakBuat: Tip Memandu Ketika Musim Salji di Luar Negara
Hoonigan mengesahkan kematian legenda ini itu dalam laman Instagram dengan kapsyen;
Dengan rasa dukacita, kami mengesahkan Ken Block meninggal dunia dalam kemalangan kereta salji hari ini. Ken adalah seorang yang berwawasan, perintis dan ikon. Dan paling penting, seorang bapa dan suami, dia akan sangat dirindui."
View this post on Instagram
Berdasarkan hantaran mendiang di laman Instagram peribadi awal Isnin lalu, beliau berkongsi sedang menaiki kereta salji di Utah.
Sementara itu, Pejabat Syerif Daerah Wasatch melaporkan kepada media Ken meninggal dunia apabila kereta salji dipandunya di cerun curam terbalik dan menghempapnya. Beliau disahkan maut di tempat kejadian.
Pada tahun lalu, Audi mengumumkan bakal bekerjasama dengan mendiang untuk projek video gymkhana seterusnya menumpukan kepada pembinaan EV sepenuhnya.
Mendiang juga pernah bekerjasama dengan Subaru, Ford dan Audi dalam pelbagai aktiviti rali dan aksi lagak ngeri sebelum ini, bermula kereta rali Subaru STI pada 2005.
Air tangan legenda itu turut pernah dicurahkan terhadap pembinaan pelbagai jenis projek padu seperti trak pikap Ford Raptor dengan Trax, Porsche 911 Hoonipigasus, dan Hoonicorn V1 dan V2 berasaskan Ford Mustang.
Pemergian Ken secara mengejut itu nyata mengejutkan peminatnya, dan dunia automotif. Tambahan lagi, beliau satu-satunya ikon yang mampu membuatkan warga Amerika Syarikat tertarik dengan sukan permotoran selain NASCAR.
Leave a Reply