SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) secara rasminya memperkenalkan model baharunya, Suzuki S-CROSS yang penuh dengan praktikaliti dan versatil.
Pengarah Urusan SMA, Keiichi Suzuki berkata, pihaknya menyasarkan penjualan 400 unit pada 2015 bagi kenderaan segmen crossover ini. Penjualan ini bakal menyumbang antara lima sehingga 10 peratus jumlah jualan kereta jenama Suzuki di Malaysia.
“ Kami yakin S-CROSS akan menjadi model crossover pilihan ramai yang hadir dengan kepelbagaian ciri dan teknologi,” katanya.
CBU HUNGARY
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Hungary, Suzuki S-CROSS dijana unit enjin petrol bersesaran 1.6L. Hasil bantuan transmisi Pemboleh Ubah Berterusan (CVT), ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 117hp pada 6,000rpm dan tork puncak 1556Nm (4,400rpm).
S-CROSS mampu mencatat masa sepantas 11saat dari keadaan statik hingga 100kmj. Hasil penggunaan bahan api pula, ia mampu dipandu sejauh 17.2km perliter berdasarkan sukatan mengikut Kitaran Pemanduan Baru Eropah (NEDC).
Hadir sebagai kenderaan di bawah segmen C, ia menampilkan rekaan luaran moden dan maskulin selain tidak mengetepikan aspek aerodinamik. Rekaannya turut diberi sentuhan moden di mana pada bahagian hadapan dilengkapi dengan lampu utama HID bersama lampu siang LED serta lampu kabus.
Lebih tampak menarik dan garang, ia diberi sentuhan dinamik dengan kehadiran rim aloi bersaiz 17 inci dan bumbung panoramik
DALAMAN – Ringkas Dan Padat
Memasuki perut kabin, ia disempurnakan dengan ruang dalamannya yang luas dan selesa dengan tempat duduk fabrik baharu. Padanan warna gelap memenuhi segenap ruangan dalaman. Rekaan papan pemuka tampak ringkas dan padat
Untuk memudahkan pemandu, tahap pandangan telah ditambah baik menerusi Paparan Multi-Maklumat (MID). Secara tidak langsung, ia memudahkan pemandu menerima pelbagai paparan maklumat dengan mudah.
Jika mahukan hiburan sepanjang pemanduan, stereng tiga jejari dilengkapi suis kawalan untuk sistem audio 2-DIN dengan input AUX selain butang kawalan MID disusun kemas. Ruangan hiburan turut diserikan dengan kehadiran skrin sesentuh bersaiz 7 inci bersama sistem navigasi dan kamera undur.
Antara ciri lain turut disematkan adalah penggunaan sistem kemasukan tanpa kunci, tempat duduk bahagian belakang boleh laras dan penyaman udara dwi-zon
Sementara itu, ruangan kabin yang selesa tidak dilupakan. Di posisikan sebagai kenderaan segmen C, kapasiti simpanan barang S-CROSS adalah seluas 440L dan hampir 1,269L diperolehi apabila kerusi belakang dilipatkan sepenuhnya.
KESELAMATAN
Aspek keselamatan, S-CROSS dilengkapi dengan tujuh beg udara keselamatan, Program Stabiliti Elektronik (ESP), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bersama Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Hill-hold Control.
Crossover ini turut dipasang sistem konsep Suzuki TECT (Total Effectiveness Control Technology) yang membantu menjadikan kenderaan lebih ringan dan selamat untuk penumpang serta membantu melindungi pejalan kaki sekiranya berlaku kemalangan.
Hadir dengan jaminan lima tahun atau 150,000km had perbatuan, S-CROSS dijual pada harga RM129,888 (atas jalan tanpa insurans). Ia menawarkan empat pilihan warna menarik. Antaranya; Crystal Lime Metallic, Amethyst Gray Pearl Metallic, Cool White Pearl dan Boost Blue Pearl Metallic.
Leave a Reply