BENARKAH harga kereta kita melampau mahal? Benarkah kalau tiada dasar kereta nasional, maka kereta import jadi murah? Wah, masing-masing sudah berangan dapat memandu Honda Civic yang berharga Proton Preve atau Toyota Vios berharga Perodua Myvi. Bapa-bapa di kampung yang baru selesai pencen pula masing-masing mahu ber-Mercedes dan ber-BMW.
Apakah kalau harga kereta murah, kita semua jadi gembira tidak terkata dan dapat tekan pedal tanpa stres? Bersediakan kita menerima polisi-polisi baharu yang bakal diperkenalkan jika harga kereta benar-benar murah seperti dibayangkan selama ini? Tahukah anda, memurahkan kereta memang mudah, tetapi menguruskan hal selepas murah itu yang menjadikan ia payah.
BACA >>> 11 Orang Ini Patut Beli Kereta Terpakai Saja! Jangan Nak & Eksyen Lebih Naa...
Di sini kami jelaskan pelbagai persoalan mengenai salah tanggapan harga kereta murah. Justeru secara rasional dan berpijak di bumi nyata, dapatlah kami simpulkan harga kereta murah lebih kepada mitos, populis dan berbahaya. Kenapa? Kenalah baca! 😀
1. HARGA KERETA MENGIKUT RANTAU
Setiap rantau mempunyai mekanisme harga yang berbeza. Agak lucu jika zaman moden hari ini kita masih percaya dengan kenyataan sesebuah model kereta itu patut murah jika harganya di Amerika, Eropah, Jepun atau Korea murah.
Pendekatan paling realistik ialah membandingkan harga dengan pasaran serantau. Tetapi itu cuma perbandingan kasar dan bukan penanda aras harga kereta sebenar kerana masih ada banyak faktor mempengaruhi.
2. PURATA PENDAPATAN PENDUDUK JADI PENENTU HARGA
Tajuk di atas menjelaskan kenapa tanpa kereta nasional, kereta import akan kekal mahal dan cuma segmen tertentu sahaja mengalami penurunan signifikan.
Tahukah anda, purata pendapatan penduduk sesebuah negara juga termasuk kajian pengeluar automotif dalam menentukan harga dan jenis kereta di sesebuah negara. Mercedes misalnya ialah jenama kereta mewah dan harga mahal adalah antara standard status mewah itu sendiri.
Jadi, penetapan harga dibuat dengan mengambil kira tahap golongan berpendapatan rendah, menengah, dan tinggi di sesebuah negara. BMW dan Mercedes sama sekali tidak akan membenarkan kereta-keretanya jadi begitu mudah dan 'murah' dibeli seperti Toyota Camry atau Honda Accord.
Ya, kita sebenarnya sedang bermimpi jika masih mahu percaya BMW atau Mercedes akan jadi semurah Camry dan Accord (ataupun Proton Perdana!) jika tiada kereta nasional.
3. TIDAK SEMUA SEGMEN KERETA TURUN HARGA
Ini tentang kajian trend penduduk sesebuah negara. Adakah anda ingat pengeluar akan terus menurunkan harga begitu saja dan kita boleh membeli-belah kereta seperti memilih baju ketika jualan murah di pasar raya? Jawapannya, salah!
Ingat, pengeluar ialah golongan kapitalis atau kaum pemodal yang mahu mengaut keuntungan. Hukum keuntungan pula ialah meminimumkan kos dengan meninggikan jualan. Ia terpakai dalam apa-apa cara perniagaan, terutama yang bercirikan multinasional. Dalam isu ini, kereta ialah produk mereka berniaga dan kita adalah sasaran pembeli.
Pengeluar, terutamanya Jepun akan menyerang pasaran automotif sesebuah negara dengan segmen kereta paling bawah dan murah atau model paling trendy. Di Indonesia sebagai contoh, pasaran kereta supermini (segmen-A atau city car - seangkatan Perodua Axia) sangat laris, dan diikuti segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak seperti Toyota Avanza, Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio.
Namun, apabila memasuki sedan segmen-B dan C, pengeluar import di sana mula mengecilkan pasaran dengan cara menaikkan harga. Sebab itu kita akan dapati harga Toyota Vios di Indonesia lebih mahal berbanding Malaysia, manakala Toyota Avanza di sana lebih murah berbanding negara kita.
Kenapa jadi begitu? Bukankah lebih masyuk jika Jepun menurunkan saja harga Vios di sana? Kami akan jawab dalam tajuk di bawah pula.
4. HARGA DITETAPKAN UNTUK OPTIMUM PENGELUARAN DAN JAGA KUALITI
Seperti dijelaskan dalam poin 3, pengeluar automotif asing akan menyerang pasaran bermula segmen paling bawah dan murah serta berpandukan trend semasa di sesebuah negara.
Memandangkan kenderaan segmen-A dan MPV kompak begitu laris di Indonesia, pengeluar akan menembak pasaran segmen tersebut habis-habisan. Toyota boleh saja menurunkan harga Vios sebaris pasaran Avanza untuk meraih pendapatan lebih lumayan. Tetapi tidak melakukannya kerana tindakan itu hanya akan menjejaskan jualan segmen lain (MPV kompak), sekali gus menyukarkan atau mengurangkan tahap efisien kerja-kerja pengeluaran, penyenggaraan dan kawalan kualiti.
BACA >>> Daihatsu Sirion (2018) Lancar di Indonesia - 1.3L, Harga Bermula Rp193 Juta (RM56k)
Sama seperti situasi di Malaysia, mana-mana pengeluar pun tidak akan membiarkan harga satu-satu segmen itu menjadi pengacau kepada segmennya yang lain. Kita bayangkan analogi mudah. Andaikan kita penjual kuih dan pelanggan sangat gilakan karipap berbanding kuih lain. Peniaga yang bijak sudah tentu akan melebihkan pengeluaran karipap berbanding kuih lain. Nisbahnya mungkin 10 karipap bersamaan 1 keria atau ketayap.
Ini membuatkan kita lebih fokus dalam pembuatan karipap dalam urusan mencari pekerja, membeli bahan mentah, memasak, melakukan pengiklanan, dan lain-lain. Sama juga seperti perniagaan industri automotif. Pengeluar lebih mudah mengawal pasaran yang cenderung kepada segmen, trend atau harga tertentu berbanding pasaran yang terlalu terbuka dan sukar diduga.
5. MURAH CUMA SEGMEN PALING RAMAI PEMBELI
Itu baru hal karipap yang mungkin harganya sama seperti keria, cuma berbeza permintaan. Tetapi dalam hal automotif pula, sedikit perbezaan harga akan mengacau pasaran dan jualan walaupun duduk di bawah jenama sama. Disebabkan itulah pengeluar begitu berhati-hati dalam menentukan harga kereta mereka.
Secara tidak sedar penetapan harga juga dibuat untuk menentukan trend sesebuah negara. Nampak seperti ada agenda, tetapi itulah realitinya. Thailand nampak aktif dengan trend trak pikap, Indonesia laris dengan MPV kompak, dan Malaysia pula sukakan sedan.
Honda akan memastikan harga Jazz tidak menjejaskan jualan City. Dalam erti kata lain, harga segmen sedan mestilah tidak mengacau pasaran MPV atau sebaliknya. Sebabnya, baca poin nombor 4, iaitu supaya lebih mudah pengeluar menjaga pasaran, meminimumkan kos dan menguruskan hal penyenggaraan.
Bayangkan permintaan sedan, MPV dan trak pikap hampir seimbang, maka pengeluar perlu menyediakan tiga kepakaran berbeza sama ada dari segi menyediakan tenaga kerja dan kepakaran, fasiliti, pemasaran, stok alat ganti, pusat servis dan sebagainya. Ya, kos lebih tinggi bagi pasaran yang seimbang dan tidak bertumpu kepada sesuatu trend.
Jadi, kita masih mahu percaya semua segmen kereta akan murah begitu saja? Pengeluar akan mengesan atau mencipta sendiri trend pembeli kereta sesebuah negara dan menyerang kita menerusi iklan, tawaran harga dan spesifikasi menarik supaya dapat membentuk majoriti pembeli yang dominan. Sebabnya, memudahkan mereka mengoptimumkan pengeluaran dan menjaga kualiti.
6. CUKAI KERAJAAN PUNCA KERETA MAHAL?
Ini antara bola tanggung paling ampuh digunakan pengeluar atau orang yang berkepentingan tertentu untuk memberitahu bahawa harga kereta sepatutnya murah dan boleh dibeli semua orang. Hakikatnya tidak.
Cukai tinggi mungkin menjadi antara penyebab harga kereta mahal di sesebuah negara, tetapi ia tidak sepenuhnya benar. Perkara paling penting dalam menentukan harga ialah permintaan!
Jika kita memahami mekanisme cukai, ia dikutip untuk dipulangkan sebagai modal kebajikan rakyat. Semakin mahal kereta, semakin tinggi cukai dikenakan. Katakan Kerajaan mengenakan cukai rendah, sedangkan permintaan pembeli konsisten tinggi pada harga sedia ada, percayalah pengeluar sama sekali tidak akan menurunkan harga kereta sebab permintaan menunjukkan sebaliknya atau atas alasan nombor 2 - jaga status jenama. Jadi, pengeluar sudah tentu dapat mengaut untung berlipat ganda. Ruginya ialah Kerajaan (yang mewakili kita semua) kerana tidak dapat mengutip cukai tinggi.
Soal ketelusan atau korupsi itu topik lain. Jangan jadi hamba politik! Faktanya, beginilah cara mekanisme cukai bekerja. Cukai yang sedikit mungkin mengurangkan pendapatan Kerajaan tetapi mengkayakan pengeluar, dan jika terlalu tinggi pula akan menyebabkan pengeluar tidak berminat berniaga. Sama situasi seperti berniaga di pasar. Siapa mahu berniaga kalau sewa tapak begitu tinggi daripada untung?
Jadi di sinilah tugas Kerajaan untuk berunding dengan pengeluar dalam menetapkan kadar cukai yang sihat sama ada bagi pihak pengeluar dan kita sebagai pembeli. Kalau penyedia tapak pasar mengenakan sewa melampau tinggi, berapa kerat pula peniaga yang mahu berniaga?
Apakah pasaran pembelian automotif kita lembap dan pengeluar tawar hati mahu meniaga di negara ini? Kita boleh dapatkan jawapannya dengan melihat lambakan kereta di jalan raya dan pelancaran model-model baharu setiap tahun. Permintaan automotif kita masih rancak.
7. KERETA MEMANG BUKAN MURAH
Ini perkara paling penting yang perlu anda fikirkan. Kereta memang bukan milikan murah. Kita boleh bertanya mana-mana penduduk negara lain waima di Amerika, Eropah, Jepun atau Korea. Mereka pasti menjawab memiliki atau membeli kereta bukanlah sesuatu yang murah walaupun kita berpendapat alangkah seronoknya tinggal di negara mereka kerana boleh memandu banyak kereta hebat.
Banyak komitmen tersembunyi perlu difikirkan dan bukan tersekat setakat bayaran ansuran, cukai jalan dan insurans sahaja. Di negara maju kini sudah ada satu kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar, menjimatkan sumber fosil untuk generasi baharu, mengurangkan kesesakan dan memaksimumkan pengangkutan awam.
Apakah kita pernah memikirkan hal itu? Tidak, kita sebenarnya hanya mahu harga kereta murah. Bila ditanya semurah mana, kita sendiri sukar meletakkan harga sebenar. Harga kereta boleh ditolak campur menjadi mampu milik, tetapi tidak murah. Realitinya, harga kereta memang tidak boleh dimurahkan sehingga kepada tahap sesiapa saja boleh memiliki dan tidak gerun membelinya. Kenapa? Kita baca lagi alasan di bawah.
8. HARGA KERETA MURAH TIDAK SELESAIKAN MASALAH
Betul, semua orang perlukan pengangkutan untuk bergerak. Bagi kita, harga kereta murah adalah cara paling mudah membuatkan orang mudah bergerak apabila semua dapat berkereta dan tidak perlu lagi berhutang lama. Tetapi sebenarnya kunci utama bagi pengangkutan ialah kelancaran perjalanan itu sendiri dan ia tidak dapat diselesaikan dengan menjadikan harga kereta murah.
Sekarang bayangkan Kerajaan hapuskan kereta nasional, kurangkan cukai import dan letakkan harga siling kereta. Pengeluar kecil atau kurang laku mungkin terpaksa angkat kaki. Sebaliknya, pengeluar gergasi tersenyum kerana boleh memonopoli pasaran. Kita pula sudah tentu suka sebab boleh berkereta import murah walaupun spesifikasi sudah tidak sebagus dulu (pengeluar beri alasan sebab ada harga siling dan kurangkan kos). Pengangkutan awam pula lengang sebab semua orang sudah boleh berkereta. Masalahnya, jalan raya sesak teruk. Parkir penuh di mana-mana. Kemuncaknya, kita-rakyat marah!
Kerajaan menerusi pihak bandaraya buat had masa untuk masuk bandar, termasuk naikkan tol dan bayaran parkir. Rakyat marah dengan beri alasan macam-macam. Kemudian, Kerajaan gesa pula pihak bank supaya naikkan faedah dan pendekkan tempoh pinjaman untuk kawal pembelian kereta, sekali gus mengurangkan populasi kereta setiap tahun. Rakyat marah sebab kena bayar deposit dan ansuran mahal. Apa guna harga kereta murah tapi bayar lagi mahal berbanding ketika harga kereta mahal dulu? Walhal tempoh pinjamannya singkat.
Kerajaan perkenalkan pula dasar lupus kereta supaya kereta boleh dilupuskan selepas 10 tahun untuk survival industri dan kawal lambakan kereta seperti di negara maju. Pun rakyat marah juga sambil tuduh Kerajaan mahu buat rakyat hidup berhutang dan galakkan riba. Masing-masing mengeluh, penat-penat aku beli kereta nak kena dilupuskan pula.
KESIMPULAN
Hah, susah bukan? Sedar atau tidak semua yang berlaku di atas adalah bermula dengan isu populis, iaitu memurahkan harga kereta yang kita bayangkan ia patut dimurahkan seperti negara (sebutkan di sini...) atau pada harga (sebutkan di sini...).
Kita perlu faham di mana-mana negara pun pembelian kereta tidak pernah lari daripada menguruskan konflik seperti di atas. Bersediakah kita dengan dasar lupus kereta? Bayaran muka setinggi 20 atau 30 peratus? Cukai jalan tinggi? Had masa masuk bandar? Bayaran parkir tinggi? Kesesakan berjam-jam lama.
Apa yang patut dituntut ialah fasiliti pengangkutan awam yang efisien dan kita sendiri perlu berkorban menggunakannya. Malah, mengajar generasi baharu, iaitu anak-anak kita supaya biasa dengan pengangkutan awam. Sehingga sampai satu tahap setiap tempat boleh diakses dengan pengangkutan awam mudah dan murah. Ataupun kita mahu terus memberi alasan, marah dan mengeluh sehingga sebuah stesen LRT dibina betul-betul di hadapan pintu rumah kita.
BACA >>> #SembangDeras: Benarkah Harga Kereta di Malaysia Mahal? Penasihat Kewangan Ini Buat Perbandingan
Kita harus akui kita sedang melalui fasa sebagai negara maju. Dengan populasi penduduk yang meningkat cepat, ada banyak keselesaan yang terpaksa kita korbankan (perlu lebih berpeluh dan sabar) dan ada banyak juga perkara yang kita terpaksa setuju walaupun kadangkala ia agak menyusahkan, tetapi perlu dilakukan untuk keselesaan bersama.
Antaranya ialah menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana, mengasingkan sampah lupus dan bahan kitar semula, merokok di tempat ditetapkan, tidak boleh berlama-lama di RnR dan kedai makan, mengangkat pinggan sendiri selepas makan di kedai dan mengepam tandas selepas melepaskan hajat. Alasan, kalau aku buat kerja, nanti cleaner duduk rileks saja sudah dianggap kenyataan yang bongkak!
Ini bukan tentang menyokong sesiapa, tetapi ia masalah sebenar yang perlu dihadapi kita sebagai rakyat yang tersepit dan emosional, pengeluar yang mahu cari untung lebih, dan Kerajaan yang lemah atau terlalu populis. Anda berada di mana? Berkeras terus mahu kereta murah, dan lantaklah mahu jadi apapun. 😉
ken says
Awal2 lg pengarang dah ckp x boleh murah dan bla bla bla. Org melayu ckp nak seribu daya, x nak seribu dalih. Nampak sgt pengarang cuba menjustifikasikan polisi yg menekan rakyat dgn seribu alasan. Tahniah.
AO says
Maaf. Kami tidak ambil pot bab politikus sampah sama ada Kerajaan atau Pembangkang. Kami cuma sukakan automotif.
WJS says
Sesetengah orang lebih gemar kekal sebagai katak bawah tempurung yg kepala keras, tak reti konsep makro ekonomi. Penjualan kereta ni satu bisnes, bukan kegiatan kebajikan. Kalo tak larat, jgn beli. Hakikatnya kereta di Malaysia tidak murah kerana permintaan pasaran dan daya beli majoriti rakyat Malaysia masih membolehkan syarikat-syarikat automotif utk memposisikan julat harga yg demikian. Kalau Toyota dan Honda hanya mampu menjual 100 buat Vios dan City dalam setahun, adakah mereka akan kekalkan harga jualan yg sedia ada sekarang? Tentunya tidak. Walaupun rakyat Malaysia siang malam complain harga kereta mahal, tetapi Honda dan Toyota tetap mencapai KPI jualan mereka pada harga-harga yg kurang masuk akal itu. Buat apa mereka nak turunkan harga?
AO says
Betul. Kami pun tak nafikan harga kereta mahal. Tapi jangan nafikan skim pinjaman kita buatkan kereta jadi murah pula. Atau kita sanggup vice versa? 😉
rakyat biasa je says
Lawak apa pulak ni...
CUKAI KERAJAAN PUNCA KERETA MAHAL?
1- Bodoh #1 : Semakin mahal kereta, semakin tinggi cukai dikenakan. Katakan Kerajaan mengenakan cukai rendah, sedangkan permintaan pembeli konsisten tinggi pada harga sedia ada, percayalah pengeluar sama sekali tidak akan menurunkan harga kereta sebab permintaan menunjukkan sebaliknya atau atas alasan nombor 2 - jaga status jenama. Jadi, pengeluar sudah tentu dapat mengaut untung berlipat ganda.
Hahaha... cuba la buka tempurung tu,.. apa susah, kalau ada syarikat nak kaut keuntungan berlipat ganda. bagi je rakyat import sendiri... with 0%. Ada berani? hehe. Pernah dengar perkataan 'persaingan' atau anti monopoli?
HARGA KERETA MURAH TIDAK SELESAIKAN MASALAH
2- ingat negara maju mcm US yang harga kereta murah berbanding pendapatan rakyatnya... ada jem macam Malaysia ke? ingat rakyat ni suka2 nak beli berpuluh2 kereta parking depan rumah... hahaha. lawak la.
Lagi satu, ingat Thailand yang xde multi level cukai (CUKAI atas CUKAI - cukai import, eksais, sales, gst, tah apa apa lagi...) dah jauh meninggalkan Malaysia... Indonesia pun dah ucapkan bye2. Kita masih level 'syok' sendiri jer... Cuba la pi Thailand recomend buat skim Cukai atas Cukai ni... kata la... yang ni macam skim MLM, cepat kaya... tengok diorang nak follow ke tak... hahahaha
AO says
Tak faham pulak hamba apa yang nak disampaikan sedara. Bagi rakyat import kereta? Wow! Apa kena mengena saingan dan anti monopoli dengan harga kereta murah?
Fakta kat Amerika tak jem macam Malaysia pun sedara dah silap. Tahu tak berapa downpayment kereta kat Indonesia? Berapa pula kerajaan Thai kenakan cukai ke atas petrol?
Bukan nak menafikan kereta kita mahal, tapi pada masa sama kita juga tak dapat nafikan harga kereta kita juga mampu milik. Antara sebabnya sistem kredit pinjaman kita yang anjal dan fleksibel.
My says
Mmg kamu tak paham! Atau buat2 tak paham! Penjelasan diberi mmg rasional.
Tapi bila hati dah ada sifat tak boleh terima penjelasan, jadi la apa yg kamu komen tu. Saya malas nak layan org mcm kamu. Ada masalah hati.
AO says
Terima kasih. Steady!
Jep says
Skrg ni kete aku bulanan 650 klo dpt bulanan murah lagi dlm 450 tak ke bagus? Blehla lebihan 200 tu aku belanja ke lain..kerajaan pon dpt 6% dr lebihan 200 tu (gst) ke cmner? Boleh buat polisi kete murah tp utk sorg 1 kete je yg murah klo die beli kete ke dua cukai 300% sbb kete kedua tu dh jd kehendak bkn keperluan, klo nk murah die kena jual kete yg pertama tu dlu