KILANG motosikal Suzuki Assemblers di Prai, Pulau Pinang sudah pun ditutup pada bulan Ogos 2016. Serentak itu tiada lagi operasi motosikal kecil buatan Suzuki di Malaysia. Mungkin ada yang bersedih kerana Suzuki bukan calang-calang jenama tetapi apakan daya, faktor persaingan dan jualan menyebabkan kilang itu ditutup. Ada juga khabar mengatakan Suzuki akan menumpukan pada pengeluaran motosikal berkuasa tinggi pula selepas ini.
BACA >>> 10 Motosikal Legenda Suzuki di Malaysia Dalam Kenangan
Namun, di dunia luar seperti tiada apa-apa yang berlaku. Terkini, Suzuki baru saja mengumumkan harga superbike 'hot', GSX-R1000R di Britain yang berharga £16,099 atau RM88,838.
TEKNOLOGI MOTOGP
Suzuki GSX-R1000R bukan calang-calang superbike kerana ia dibekalkan enjin baharu dengan teknologi yang diambil terus daripada jentera MotoGP GSX-RR. Paling menarik, penggunaan sistem pemasaan injap pintar (SR-VVT) yang pertama kali digunakan untuk segmen motor sukan (sportsbike sebenarnya). Output kuasa GSX-R1000R ialah 202hp pada 13,200rpm (okay, lagi berkuasa dari kereta abang) dengan tujahan 117.6Nm pada 10,800rpm.
DIBANGUNKAN JOHN REYNOLDS - JUARA 3 KALI SUPERBIKE BRITAIN
GSX-R1000R dibangunkan oleh pelumba dan juara tiga kali perlumbaan Superbike Britain, John Reynolds yang pastinya menambah lagi DNA lumba superbike itu. GSX-R1000R dilengkapi sistem pengesan inersia (gerakan) dengan 10-mod kawalan cengkaman, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) selekoh, kawalan mula (launch control), tukaran gear pantas dua arah (bi-directional quickshift) dan blip-auto (pendikit akan dibuka secara automatik apabila gear rendah dimasukkan).
Suspensi depan dan belakang menggunakan jenama terkenal Showa Balance Free untuk pengendalian tunggangan yang meyakinkan.
SUZUKI GSX-R1000 - ENJIN SAMA, HARGA LEBIH RENDAH
Selain mengumumkan harga GSX-R1000R, Suzuki turut berkongsi harga GSX-R1000 yang menggunakan enjin sama seperti GSX-R1000R berkuasa 202hp dan dilengkapi kerangka serta lengan ayun baharu. Dipasarkan pada harga £13,249 (RM73,015), motosikal berkuasa tinggi itu turut dilengkapi 10-mod kawalan cengkaman dan sistem ABS yang mengawal tayar belakang semasa pembrekan kuat. Suspensi depan turut menggunakan jenama Showa dari model Big Piston.
Pengurus Pemasaran Suzuki Britain, Rob Cooper berkata, jangkaan memang tinggi untuk GSX-R1000R dan GSX-R1000, Suzuki berbesar hati dapat memasarkan kedua-dua model ini pada harga yang kompetitif. Suzuki GSX-R1000R direka dan dibangunkan dari kosong serta dilengkapi pakej elektronik lengkap seterusnya menambah baik prestasi model baharu ini.
"Kami juga gembira dapat mengumumkan model GSX-R1000 yang menggunakan enjin sama seperti GSX-R1000R tetapi pada harga yang lebih rendah. Falsafah jenama Suzuki ialah memberikan produk yang ada nilai untuk wang. Boleh dikatakan kedua-dua model baharu ini antara paling mampu milik di pasaran," katanya.
Dengan tamatnya operasi motosikal Suzuki di Malaysia, apakah masih ada harapan superbike ini dipasarkan di sini? Operasi Suzuki di Malaysia sudah menjadi lipatan sejarah tetapi peminat Suzuki mungkin sedia untuk membuka lipatan itu kembali.
Leave a Reply