MEMANG diakui, zaman sekarang kereta sudah jadi keperluan. Asalkan dapat berkereta dari A ke B dengan selamat itu sudah memadai. Bagaimanapun, pemilihan jenis kereta memainkan peranan penting, kalau ikutkan kehendak memang tak akan habis.
Moleknya beli ikut kemampuan. Paling penting, kaji juga kos penyenggaraan seperti servis, alat ganti dan insurans. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri, bukan di badan bakal mak mertua di kampung (sekadar contoh). Pesan bijak pandai, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Di bawah ini kami kongsikan semula pengalaman Aquqaiyimie dan Myvi yang dipetik daripada Instantaneous Intuitive Upright Moving Confessions (IIUMC) - dengan izin.
* Artikel sudah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud dan gaya asal penulis. Harap maklum.
Assalamualaikum & Salam sejahtera.
Terpanggil aku untuk berkongsi tentang kesilapan sangat tragik yang aku lakukan selepas graduasi sebagai pedoman untuk mereka yang bakal ataupun sudah tamat belajar.
Aku adalah seorang lepasan Diploma in Banking & BBA (Hons) Finance dan tamat belajar pada 2012. Lepas habis, aku terus mengorak langkah untuk cari kerja, hantar resume ke pelbagai bank dan institusi kewangan serta walk-in interview.
Masa itu aku harap sangat dapat kerja bank. Dipendekkan cerita, setiap kali aku hadir temuduga mesti salah satu soalan ini akan ditanya:
“Do you have your own transport/car?”
Ya, aku faham juga dengan kelayakan ijazah biasanya memang akan ditawarkan kerja bahagian jualan yang memerlukan kita untuk bergerak ke sana ke mari, jadi memang patutlah soalan tu diajukan.
Ada satu bank sudah panggil aku temuduga sebanyak dua kali. Ini petanda baik dalam fikiran aku, tapi kalau aku tiada kenderaan susah juga. Seterusnya aku runding dengan keluarga untuk belikan kereta dan ansuran bulanan aku yang bayar. (Aku yakin akan dapat kerja dengan gaji sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan waktu itu).
Kesilapan agung!
Inilah kesilapan paling agung, paling b****k yang aku lakukan selepas tamat belajar. Memang gila dan pendek akal. Bapa aku tolong keluarkan Perodua Myvi Extreme guna nama dia. Iyalah, aku mana layak nak buat pinjamankan? Aku punya b*****g minta Myvi Extreme spesifikasi penuh selama tujuh tahun tanpa deposit dengan ansuran RM857 sebulan. Iya, RM857 sebulan! Jangan tak percaya.
Dipendekkan cerita lagi, aku tak dapat panggilan kerja bank. Bukan rezeki aku, apa boleh buat. Mujurlah aku ini bukan jenis memilih kerja, walaupun tak dapat kerja bank, tapi aku ada mohon kerja lain juga. Atas matlamat cari pengalaman, aku terima tawaran bekerja di sebuah kilang sebagai Eksekutif Pentadbiran dan Akaun dengan gaji RM900 sebulan.
Kamu rasa dengan RM900 mampu tak aku bayar kereta?
Selepas tolak EPF dan Socso gaji aku berbaki RM700++ saja. Sangat-sangat tak cukup. Belum lagi masuk hutang PTPTN. Nama saja lepasan Ijazah Kewangan, tapi masih lakukan kesilapan ini. Penyesalan tu masih terasa hingga sekarang, 2017. Sesal tak sudah. Nasib ada ibubapa boleh tolong tanggung sikit-sikit.
Selepas tiga bulan aku dinaikkan gaji, naik pun RM1,000 sahaja. Tapi aku ni tebalkan muka dengan bos minta belas kasihan sebab aku ada kereta dan PTPTN perlu dibayar, dan aku tak mahu bebankan bapa aku. Kemudian bos bagi rm1,150/sebulan.
Guys, sekarang ini dah masuk tahun 2017, aku masih lagi kerja di syarikat yang sama, gaji aku sekarang dah RM1,750 tapi tahun ini belum ada pelarasan lagi. Setiakan aku kerja di syarikat ini? Sudah masuk lima tahun aku kerja.
Aku tekad mahu perbaiki kesilapan, mahu perbaiki kewangan aku. Alhamdulillah, pada saat ini aku berjaya langsaikan PTPTN. Kereta ada dalam dua tahun setengah lagi sebelum habis bayar. Sekarang aku tengah fokus untuk cukupkan dana kecemasan (enam bulan gaji). Nanti dah habis bayar kereta barulah aku stabil sikit.
Guys, pesanan aku buat semua, nanti lepas habis belajar kalau mahu beli kereta pun janganlah ambil yang mahal-mahal, sedar dengan kemampuan diri yang PTPTN pun baru mahu mula bayar. Nanti bila kerja jangan lupa untuk simpan 10% daripada gaji bersih. Ingat, simpan dulu, lepas tu baru berbelanja. Jangan lupa juga bagi ibu bapa walaupun gaji kita tidak besar mana. PTPTN jangan sengaja tak bayar, yang paling penting jangan pilih kerja ya.
“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna”
Sekian,
Harap dapat dijadikan pedoman.
Aquqaiyimie
SUMBER: IIUMCBM
Leave a Reply