JIKA diberi pilihan untuk memilih salah satu kenderaan hibrid yang paling diminati, tanpa perlu berfikir panjang saya akan 'meminang' Hyundai Ioniq.
Kenapa suka Ioniq? Jawapan saya mudah, rekabentuk awesome dan prestasi superb! Ya, tanpa segan silu saya katakan sudah 'jatuh cinta' dengan Hyundai Ioniq.
Bagi anda yang mungkin tidak setuju dengan kenyataan ini, saya syorkan pandu uji dahulu. Saya yakin anda akan setuju selepas memegang stereng dan pandu uji model hibrid ini.
Bagi anda yang mahu ketahui kenapa Hyundai Ioniq menjadi pilihan saya, enam sebab ini adalah jawapannya;
1. HARGA MURAH GILA
Saya masih ingat Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kata harga jualan Ioniq bermula RM130,000. Kenyataan itu dikeluarkan selepas mengumumkan tempahan dibuka bagi model itu.
Apa yang mengejutkan saya, harga Hyundai Ioniq jauh lebih murah daripada dianggarkan. Ia dijual pada harga serendah RM100,328 hingga RM114,000.
2. ENJIN SUPERB
Bagi pasaran Malaysia, Hyundai Ioniq ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu HEV dan HEV PLUS.
Bagaimanapun kedua-duanya dipadankan enjin yang sama iaitu Kappa 1.6L Atkinson GDI 4-silinder. Hasil gabungan kuasa motor elektrik, Hyundai Ioniq mampu menghamburkan kuasa sebanyak 139hp dan tork puncak 265Nm.
Lebih menarik, Hyundai Ioniq memilih pasangan kotak gear DCT 6-kelajuan berbanding pesaingnya yang lebih menggemarkan penggunaan transmisi CVT.
Biarpun hanya enjin 1.6L, tetapi hantaran kuasa disalurkan cukup membuatkan anda melekat di kerusi.
Jika masih tidak cukup teruja, pilih saja mod pemanduan Sport dan ia mampu membuatkan denyutan jantung anda bergerak laju. Bukan saja berkuasa, pengendalian stereng juga tidak mengecewakan.
Ya, enjin Hyundai Ioniq memang superb!
BACA >>> Adakah Ini Hyundai Elantra Baharu? Mampukah Cabar Honda Civic?
3. JIMAT MINYAK KAW-KAW
Selepas 'melenjan' Hyundai Ioniq melalui kawasan kampung sekitar Negeri Sembilan, Semenyih, Beranang dan berakhir di Putrajaya , ia hanya menggunakan 1 takuk minyak. Menurut Hyundai, Ioniq mampu bergerak sejauh 1,000km dengan satu tangki penuh. Wow!
Dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen, mungkin Hyundai Ioniq adalah pilihan bijak bagi anda yang sedang merancang membeli kereta.
4. DESAIN MENARIK
Dari segi paras rupa, kedua-dua varian tampak hampir sama. Apa yang membezakan antara kedua-duanya adalah dari segi kosmetik dan ciri ditawarkan.
Bagi varian tertinggi iaitu Hyundai Ioniq HEV PLUS, ia dipadankan dengan lampu Bi-Xenon bersama lampui LED berbentuk C.
Manakala ruangan dalaman pula menampilkan kerusi yang dibaluti kulit, skrin TFT bersaiz 7-inci dan banyak lagi.
Jika dibandingkan dengan barisan ahli keluarga Hyundai yang lain, saya merasakan desain Ioniq paling menarik dan menawan.
5. CIRI KESELAMATAN PREMIUM
Model pemasangan tempatan (CKD) daripada kilang Inokom di Kulim, Kedah ini tidak berkrompomi dengan aspek keselamatan pemandu dan penumpang.
Kesemua varian didatangkan dengan tujuh beg udara, Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM), kamera undur, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Bantuan Daki-Mula (HAC) dan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC).
Manakala varian HEV PLUS pula menerima beberapa lagi penambahan keselamatan seperti;
- Blind Spot Detection (BSD)
- Lane Keeping Assist System (LKAS)
- Automatic Emergency Braking System (AEB)
- Smart Cruise Control (SCC)
- Sensor hujan
6. PEMBELI IONIQ DIUTAMAKAN
Bukan saja dapat kereta awesome, kesemua pemilik Hyundai Ioniq turut menerima Program Care Plus. Antara keistimewaan Program Care Plus adalah;
- 5 tahun jaminan atau 300,000km (mana tiba dahulu)
- 8 tahun jaminan tanpa had perbatuan bagi bateri
- Harga bateri dibawah RM10,000 sekiranya perlu ditukar
- Servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km
- 3 tahun perlindungan daripada Insurans Jaminan Auto (GAP) – Pemilik Ioniq akan dibayar 100 peratus nilai kereta sekiranya berlaku kemalangan total loss dan tempoh tiga tahun pemilikan
BACA >>> #Videotomotif: Iklan Komersil Hyundai Veloster, Dewa Kematian Muncul dan Ford Focus Jadi Mangsa
WAJIB BELI?
Sejujurnya saya merasakan Hyundai Ioniq berbaloi dimiliki. Persoalannya, mampukah Hyundai Ioniq menawan hati anda? Melihat kepada harga dan ciri ditawarkan, sudah pasti ia memberi kelebihan pada Hyundai Ioniq.
Cuma jenama yang membuatkan ramai berfikir dua kali. Jika jenama itu adalah dari negara matahari terbit, saya yakin ia akan menjadi model 'laku keras'.
Tetapi berani saya katakan, Hyundai Ioniq ini berbaloi dimiliki. Bukan saja 'sedap' dibawa, ia juga didatangkan dengan pakej lengkap.
Jika anda masih ragu-ragu, saya syorkan supaya pandu uji dahulu sebelum membuat keputusan. Percayalah, Hyundai Ioniq ini memang awesome!
Leave a Reply