LIMA kenderaan terbabit kemalangan disebabkan jalan licin akibat tumpahan minyak diesel sejauh kira-kira dua2km di jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Bandar Permaisuri, Terengganu, pagi semalam.
Polis menerima lima laporan pemilik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan disebabkan terbabas di KM69 hingga 71 itu. Insiden diesel tumpah itu dikatakan berlaku jam 6 pagi dari sebuah trak pikap hitam.
Trak pikap itu dikatakan mengisi diesel dalam tong dan diletakkan di but belakang kenderaan di stesen minyak di Bandar Permaisuri sebelum bergerak menghala Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, insiden itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan parah. Kebanyakan pemandu dikatakan hilang kawalan ketika melalui lokasi tumpahan minyak berkenaan kerana permukaan jalan licin hingga menyebabkan kenderaan terbabas, termasuk ada yang terbalik.
Polis juga percaya masih ada mangsa kemalangan belum membuat laporan polis.
Susulan kejadian, polis dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal lalu lintas dan membersihkan tumpahan diesel tersebut sebelum kerja pembersihan jalan tamat jam 12.14 tengah hari, semalam.
Polis juga sedang mengesan pemilik trak pikap untuk tindakan lanjut.
Dipetik Bernama, jumlah sebenar kenderaan terlibat adalah kira-kira 20 unit, termasuk penunggang motosikal, tetapi ada masih belum tampil membuat laporan polis.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply