GWM baru-baru ini melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Haval Dargo (2022) untuk pasaran Chile dan Peru dengan menjalankan pandu uji jarak jauh di Chile.
Semua model pandu uji ialah edisi pacuan empat roda (4WD) yang menggabungkan ciri keselesaan SUV bandar dan off-road. Laluan pandu uji bermula di Puerto Montt dan berakhir di Puerto Varas melalui Taman Negara Alerce Andino membabitkan pelbagai situasi pemanduan berbeza seperti kondisi permukaan jalan off-road dan berturap.
Pengalaman pelbagai situasi senario itu menarik minat ramai pemandu uji, termasuk pihak media untuk mengambil bahagian dengan memberikan ulasan positif. Menurut portal permotoran automotif tempatan, Chileautos, Haval memperkenalkan model SUV dengan DNA off-road yang mampu menawan hati kalangan penggemar pengembaraan.
Dalam ujian itu, Dargo (2022) menunjukkan prestasi baik di laluan off-road yang memberikan keseronokan kepada pemandu uji. Keupayaan off-road dipertingkat menerusi sistem 4WD pintar (i4WD) dan kunci diferensial terhad (LSD) yang dikawal secara elektronik pada gandar belakang.
Sistem i4WD bertindak melaraskan output kuasa dengan pintar daripada keempat-empat roda dan bekerja dengan LSD untuk memanfaatkan sepenuhnya cengkaman setiap roda bagi membantu pemandu meredah persekitaran sukar dengan lancar.
Salah seorang pemandu uji berkata, prestasi pemanduan Dargo (2022) di jalan bergunung-ganang jauh melangkaui jangkaan, manakala prestasi cengkaman dan casis kenderaan sangat baik.
Ia memberi sokongan mantap ketika membelok dan juga pengalaman pemanduan selesa."
Selain itu, dalam pandu uji di jalan raya biasa, Dargo memberikan pengalaman yang cukup selesa dengan dilengkapi pelbagai ciri bantuan pemandu termaju seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA). Sebagai contoh, ACC dapat mengenal pasti jarak dipandu dengan kenderaan depan, termasuk mengawal halaju secara automatik, sekali gus membolehkan pemandu menikmati pemanduan lebih santai dan selesa.
Dargo (2022) menggabungkan rupa luaran off-road dan ruang kabin berteknologi yang menyerlahkan kemantapan penampilan dan perincian hebat. Dalaman SUV ini menawarkan ruang luas dengan pedal syif dan skrin unit infotainment besar.
Portal Chile, La Tercera berkata;
Gaya yang unik, mutu kerja dalaman terbaik dan konfigurasi pelbagai teknologi pintar, menjadikan SUV ini cukup menonjol jika dibandingkan produk lain dalam kelas sama di pasaran."
Data jualan terkini disiarkan GWM, Dargo (2022) mencapai hasil jualan cemerlang sepanjang Julai lalu dengan jualan global meningkat hingga 45.36 peratus berbanding tahun terdahulu. Tidak lama lagi, GWM akan melancarkan SUV segmen-C ini untuk pasaran lain seperti Timur Tengah.
Berikut spesifikasi Dargo (2022):
- Didatangkan dalam dua varian: Sport dan Adventure.
- Enjin 4-silinder sebaris 2.0L Turbo berkuasa 196hp @ 5,600rpm - 6,300rpm dan tork 325Nm @ 1,500rpm - 4,000rpm dengan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan dalam dua konfigurasi, pacuan roda depan (FWD) dan semua roda (4WD).
- Ada 8 mod pandu: Eco, Sport, Standard, Snow, Mud, Sand, Grass/Gravel, dan Bumps.
- Kapasiti tangki minyak 60 liter.
- 7 beg udara, termasuk beg udara lutut.
- Lampu LED penuh.
- Sistem kamera pandang keliling 360º.
- Ciri keselamatam termasuk seperti monitor titik buta (BSM), Sistem Trafik Lintas Belakang (RCTA), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi halaju rendah, Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan Pengesan Pejalan Kaki.
- Unit infotainment 12.3 inci dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital 10.25 inci dengan paparan dongak (HUD), pengecas wayarles, 10 pembesar suara.
- Kerusi boleh laras elektrik 8-tetapan untuk pemandu, dan 4-tetapan untuk penumpang depan.
- Penyaman udara kawalan klimat dwi-zon.
- Bumbung panoramik, kerusi penumpang depan dengan ciri pemanas dan penyejuk.
SUMBER: GWM-Global
Leave a Reply