MFORCE Bike Holdings bakal meluaskan tawaran produk skuter WMoto menerusi pengenalan varian skuter advencer 250cc, iaitu XDV 250i.
Menurut sumber PanduLaju, pelancaran skuter itu dijangka sekitar dua bulan lagi yang akan diposisikan bawah jenama WMoto. Ada dua varian ditawarkan, iaitu Standard dan X. Bezanya, X didatangkan dengan kotak simpan, rim jejari dan visor angin lebih tinggi.
BACA >>> MForce Lancar Skuter 250cc WMoto RT3, Harga RM15k
BACA >>> #Spyshot: KTM Lakukan Uji Enduran 390 Adventure Enduro yang Lebih Lasak
Sebagai makluman, model ini akan menjadi produk kelas 250cc ketiga di bawah jenama WMoto selepas RT3 dan ES250i. Jenama itu turut menawarkan skuter lain seperti ES125 dan Xtreme 150i.
Malah, beberapa pengedar, termasuk tim MForce sudah berada di Vietnam untuk menghadiri majlis prapelancaran model tersebut, dan ada juga pengedar sudah membuka tempahan awal, tetapi tiada tanda harga didedahkan.
BACA >>> Dayang Vorela 150 Lancar di China, Klon ADV 150 yang Lebih Berkuasa, RM11.2k
Skuter advencer 250cc itu dikhabarkan sudah berada di Malaysia dan menjalani ujian enduran. Maklumat awal diperoleh menyatakan model itu mirip Longjia XDV 250Si, tetapi beberapa perubahan dilakukan untuk pasaran Malaysia.
Jika melihat spesifikasi XDV 250Si, skuter itu dijana enjin silinder tunggal 244.3cc SOHC penyejukan cecair dengan teknologi suntikan bahan api (FI) berkuasa 24.13hp @ 9,750rpm dan tork 22.5Nm @ 6,750rpm.
Berikut perincian XDV 250Si:
- Empat unit lampu utama jenis projektor LED dengan lampu siang (DRL) LED. Lampu signal belok LED dan lampu belakang LED.
- Ada tambahan dua unit lampu kabus yang disepadukan bawah fairing depan. Bagaimanapun, model pasaran Malaysia mungkin tidak disertakan sekali kerana perlu mengikut piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
- Visor angin depan jenis boleh laras tiga tahap menggunakan tangan tanpa memerlukan alatan khas. Sistem kunci pula jenis wayarles.
- Panel meter digital TFT 5 inci berwarna dengan lampu amaran dan indikator sebelah kanan dan bawah meter.
- Sistem suspensi standard jenis Kayaba buatan China untuk fork teleskopik 37mm dan dwi-absorber.
- Sistem brek cakera tunggal 240mm (depan), dan 220mm (belakang) dengan kaliper J.Juan serta dipadankan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
- Rim aloi 13 inci dengan profil tayar semua permukaan (all-terrain) saiz 110/70 (depan) dan 130/70 (belakang).
- Kapasiti tangki minyak 13.5 liter. Ada ruang simpanan luas bawah pelana, manakala berat skuter 168kg. Tambahan lain ialah soket USB.
BACA >>> Honda ADV 350 (2022) Muncul di Vietnam
BACA >>> Honda Bangunkan Teknologi HUD pada Visor Angin
BACA >>> #TahukahAnda: Teknologi Keyless Memang Mudah, Tapi Belum Tentu Selamat
SUMBER: MotoMalaya
Leave a Reply