KEDAH akan memiliki kemudahan litar lumba bertaraf antarabangsa yang dibuka kepada semua peminat sukan pemotoran tempatan pada kadar minimum, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Walaupun berstatus antarabangsa, beliau memberi jaminan litar berkenaan dapat memenuhi kehendak dan permintaan peminat sukan permotoran khususnya dua roda.
Muhammad Sanusi berkata;
Ini titik mula pembinaan litar lumba rakyat. Walaupun trek ini dinamakan sebagai litar antarabangsa, tetapi saya beri jaminan trek ini akan menawarkan harga rakyat marhaen untuk memenuhi kehendak dan permintaan peminat sukan pemotoran khususnya dua roda seluruh Kedah dan Semenanjung Malaysia.
"Kita akan pastikan litar ini boleh digunakan semua dengan bayaran minimum dan saya jangka trek ini akan melonjakkan sukan permotoran di Kedah."
Beliau berkata demikian pada majlis Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani, baru-baru ini.
FAKTOR HALANG ANAK MUDA BERLUMBA TREK
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengasas Karnival Santai Anak Utara (SAU), Mohd Safiuddin Elias (Acai) yang berkata, dalam usaha mengawal aktiviti lumba haram atau 'mat rempit' dalam kalangan remaja, akses berlumba di litar perlu dipermudah selain kadar caj penggunaan lebih murah.
Antara faktor dikenal pasti menghalang remaja berlumba di trek adalah jumlah litar terhad, lokasi jauh, caj mahal dan banyak peraturan serta prosedur atau kerenah birokrasi. Justeru jika isu ini dapat dimudahkan, beliau yakin ramai remaja akan ke litar berbanding berlumba di lebuh raya atau jalan raya awam.
Menurutnya lagi, apabila ramai anak muda sudah berada di litar, secara berperingkat dan perlahan-lahan pelbagai pihak boleh mula menerapkan kesedaran mengenai keselamatan menunggang.
Muhammad Sanusi berkata, Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani akan dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di kawasan seluas 60 hektar. Pelan asal dirancang adalah Litar Lumba Rakyat dan sudah beberapa kali dipinda hingga tertangguh begitu lama dan menyebabkan kos asal meningkat.
Justeru Kerajaan negeri bersetuju meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkan kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang dilengkapi pusat komersial lain.
Muhammad Sanusi berkata, Litar Lumba Rakyat dinaik taraf kepada litar lumba antarabangsa adalah kerana keperluan dibina dengan trek dan kemudahan perlumbaan yang selamat, profesional dan diselenggara baik. Bagi mengelakkan beban kewangan masa depan kepada Kerajaan, dan syarikat PKB Open Road sebagai pelabur bersetuju mengambil alih projek berkenaan.
Menurutnya, walaupun litar itu kelak lebih bersifat komersial, tetapi ia juga boleh digunakan rakyat yang berminat dalam sukan permotoran.
Jika terlaksana, ini bermakna Kedah bakal memiliki dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani yang mana kedua-duanya dibina dan diuruskan PKB Open Road.
NADI BAHARU SUNGAI PETANI
Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road World, Datuk David Gohberkata projek pembinaan litar lumba terbaharu itu akan menjadi nadi baharu Sungai Petani.
Rekabentuk litar akan dilakukan pakar perunding litar lumba dari Britain yang pernah merekabentuk litar lumba Formula Satu (F1) di Miami, Amerika Syarikat (AS).
Selain memohon kelulusan FIA Gred 2 untuk litar lumba Sungai Petani,sebagai tarikan tambahan, kami juga mengusahakan kelulusan FIM Gred B untuk litar Sungai Petani yang mana pertandingan dan kejuaraan lumba motosikal antarabangsa dapat dilangsungkan," katanya.
SUMBER: BH Auto
Leave a Reply