ANDA tentu sudah menonton pelbagai trailer lucu, The LEGO Batman Movie yang dihasilkan Warner Animation Group, iaitu bahagian animasi di bawah syarikat penerbit Hollywood terkenal, Warner Bros. Filem animasi 3D komedi-aksi itu dijadualkan ditayangkan pada 10 Februari ini.
Tidak cukup dengan itu, bagi memeriahkan lagi filem animasi tersebut, LEGO menjalinkan kerjasama dengan pengeluar automobil, Chevrolet untuk menghasilkan LEGO Batmobile ke dunia nyata yang dibina daripada 344,187 bongkah plastik ABS (akrilonitril-butadiena stirene). Ya, sama seperti material permainan LEGO sebenar!
LEGO Batmobile ditayangkan kepada umum pada 14 Januari lalu dengan dihadiri kanak-kanak dari komuniti Cody Rouge di Detroit sempena Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) 2017. Kereta rasmi Batman itu tampil dengan panjang - 5.2 meter, tinggi - 2.1 meter dan lebar - 2.8 meter. Set tayar yang dipasang adalah seberat lebih 45kg, manakala berat frem dalaman aluminium ialah 128kg, menjadikan berat keseluruhan kenderaan, 769kg.
BATMOBILE DENGAN FITUR MODEN
Lebih menarik, spesifikasi LEGO Batmobile turut dimuatkan dengan terperinci dalam laman web Chevrolet membabitkan foto pandangan setiap sudut dan ciri-ciri terkini seperti mana kereta moden masa kini.
Antaranya ialah teknologi konektiviti terbaru Chevrolet seperti ciri panggilan bebas tangan, integrasi telefon menerusi Apple CarPlay dan Android Auto, dan sambungan WiFi 4G LTE terbina dalam yang pastinya memudahkan kerja Batman sepanjang melakukan tugasnya sebagai seorang adiwira.
Turut disediakan LEGO Batmobile ialah Teknologi Pemandu Remaja (Teen Driver Technology) yang direka untuk membantu pemandu baru (seperti Robin) daripada ciri menutup suara audio hingga mengancing tali pinggang keledar, termasuk ciri keselamatan termaju lain seperti Amaran Nerda Automatik, Penukaran Batwing Sisi, dan Kamera Pandangan Sinar-X. Sistem dalam kereta juga akan mengeluarkan laporan khas untuk mengenal pasti masalah pemandu baru.
Bukan saja mempunyai kekuatan badan kereta tegangan tinggi, tetapi turut memiliki panel sisi kalis pelancar dan kaca kalis peluru serta dibekalkan Sistem Respon Perlanggaran Automatik.
Dari segi nadi utama, LEGO Batmobile dijana enjin 60.2L V100 Power menggunakan bahan api roket yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 20,000hp dan tork 10,100Nm pada 9,000rpm (gila!) selain memiliki kuasa tunda seberat 54,431kg! Bayangkan LEGO Batmobile sedang menunda lebih 50 lori 1 tan di belakangnya! Hebat bukan?
13 PILIHAN WARNA HITAM!
Lebih lucu, laman web Chevrolet itu turut membandingkan LEGO Batmobile dengan kenderaan seteru Batma seperti The Riddler Racer yang dipandu Riddler dan Notorious Lowrider (Joker). Sudah tentulah kereta Batman paling superior. Sudah nama pun adiwira!
Paling lucu ialah perincian ciri keselamatan, di mana LEGO Batmobile memiliki 52 ciri keselamatan aktif. Sebaliknya kereta Joker cuma ada satu iaitu brek, manakala kereta The Riddler ada tiga (tidak dimaklumkan. Mungkin beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci-ABS dan Bantuan Brek-BA).
Warna pula didatangkan dengan 13 jenis pilihan yang semuanya berwarna hitam, iaitu Hitam, Hitam Jet, Hitam Gagak, Hitam Malam, Hitam Karbon, Hitam Bayang, Hitam Oniks, Hitam Obsidian, Hitam Arang, Hitam Super, Hitam Noir, Hitam Vanta dan Hitam Asap! 😛
Harga LEGO Batmobile bernilai AS$48,000,000 (RM213 juta), siap dengan waranti lima tahun dan 100,000km perbatuan.Waranti kereta Joker pula sudahterbatal, manakala kereta The Riddler tidak diketahui tempoh waranti dan jumlah perbatuan.
AMBIL MASA LAMA
Proses rekabentuk kenderaan itu dikatakan mengambil masa 222 jam (9 hari, 6 jam), manakala pembinaan memakan masa 1,833 jam (76 hari, 9 jam)!
Menghasilkan LEGO Batmobile dengan Warner Bros adalah sesuatu yang begitu mencabar bagi kami di Chevy (Chevrolet). Banyak tema dalam LEGO Batman Movie seperti imaginasi, famili dan komuniti diadunkan sempurna dengan nilai jenama Chevy kami, selain menambah nilai bagi perkongsian ini." - Timbalan Presiden Pemasaran Chevrolet Amerika Syarikat, Paul Edwards
Mari kita lihat apa kata figura mini lain tentang LEGO Batmobile. Apapun ingat, semua spesifikasi tersebut ialah fiksi semata-mata dan LEGO Batmobile tidak dijual di mana-mana bilik pameran Chevrolet.
PANDANGAN 3 SUDUT
GALERI
SUMBER: Fox News
Leave a Reply