HONDA mengumumkan ketibaan model Fit (2023) versi dipertingkat (facelift) untuk pasaran Jepun yang didatangkan dengan beberapa penambahbaikan kosmetik selain meningkatkan output kuasa trenkuasa hibrid.
Selain itu, ada tambahan varian baharu, iaitu Honda Fit e:HEV RS (2023) kepada pembeli yang mahukan model bergaya agresif. Model Honda Fit atau Jazz generasi baharu itu diperkenalkan pada 2019.
Model facelift itu dijangka berada di pasaran Jepun bermula musim luruh ini, terdiri daripada varian Basic, Home, Luxe, Crosstar dan RS. Setiap varian menerima rekabentuk khas dengan sedikit perubahan berbanding model generasi semasa.
Berikut perincian Fit e:HEV RS (2023):
- Perubahan paling ketara membabitkan varian RS.
- Fit e:HEV RS menerima beberapa komponen baharu iaitu gril, bampar dengan ventilator lebih besar, lencana RS merah, sil pintu lebih dalam, rim aloi saiz besar dan spoiler belakang.
- Tiada maklumat mengenai suspensi atau talaan trenkuasa Honda Fit e:HEV RS berbanding varian lain.
- Ruang dalaman RS menerima kemasan sulaman benang kontras pada stereng, tombol mod pandu baharu (Normal, Sport dan ECON).
- Pedal syif belakang stereng untuk kawalan brek regeneratif.
- Aspek lain kekal sama seperti kluster instrumen 7 inci dengan unit infotainmen skrin sentuh 9 inci.
- Pakej sistem bantuan pemandu Honda SENSING juga kekal sebagai ciri standard.
- Honda tidak mendedahkan perincian spesifikasi, tetapi menyatakan varian Fit e:HEV facelift ini hadir dengan kuasa motor dipertingkat dan respons pecutan ditambah baik.
- Pelanggan Jepun juga ditawarkan varian petrol dan pacuan semua roda (AWD), manakala Eropah cuma ada varian hibrid dan pacuan roda depan (FWD).
- Fit/Jazz e:HEV generasi semasa dilengkapi dua motor elektrik dengan trenkuasa aspirasi natural (NA) 1.5L yang menawarkan gabungan kuasa 107hp dan tork 253Nm.
SUMBER: CarScoops | Honda Japan
Leave a Reply