LAGI kes penipuan scammer di laman sosial Facebook (FB). Kali ini Proton pula menjadi sasaran scammer di Internet apabila sebuah laman FB palsu menggunakan nama Proton Malaysia cuba memperdayakan orang ramai dengan menawarkan 20 unit Proton Iriz semudah mengklik LIKE dan SHARE status terbaru yang dimuat naik.
Sebagai makluman, laman FB rasmi Proton ialah Proton Cars (https://www.facebook.com/ProtonCarsOfficial) dengan jumlah pengikut lebih 400,000 orang. Malah, laman web rasmi Proton juga sentiasa dikemas kini setiap bulan dengan pelbagai maklumat dan berita terkini berhubung perkembangan pengeluar automobil tempatan itu.
Sebaliknya, status pertama laman FB Proton palsu - Proton Malaysa - cuma baru dimuat naik pada 12 Januari lalu, dan jumlah keseluruhan status dimuat naik setakat tawaran hadiah Iriz itu ialah 6 status, dan tiga daripada status itu ialah gambar. Itupun beribu-ribu orang masih percaya!
Lebih lucu, status terbaru tentang tawaran Iriz itu berjaya memperdayakan netizen dengan mendapat lebih 20,000 perkongsian dan jumlah LIKE sebanyak hampir 7,000, manakala jumlah pengikut atau likers mencecah lebih 11,000 orang dalam masa tidak sampai sebulan!
BUKANNYA KENA DUIT PUN, 'LIKE' SAJA
Walaupun netizen tidak dikenakan syarat atau diminta membuat apa-apa bayaran, apa yang berlaku jelas menunjukkan kedangkalan pemikiran, ambil mudah dan sikap gopoh masyarakat kita. Apa lagi yang dapat kami katakan selain memberikan teguran, kritikan dan 'diketuk'.
Anda dangkal pemikiran dan ambil mudah kerana langsung tidak mahu memeriksa sumber berita yang disampaikan. Ini bolehlah disamakan dengan situasi memberi komen hanya dengan membaca tajuk berita. Kemudian berita yang dibaca itu pula daripada sumber tidak sahih dan tanpa kredibel yang diri sendiri tidak tahu kebenarannya. Sudahnya, jadi fitnah!
Sikap gopoh pula kerana teruja dengan apa saja tawaran berbentuk material walaupun sedar ia seakan tidak masuk akal. Itu baru semudah mengklik LIKE dan SHARE, bayangkanlah datang sebuah laman web yang serba sofistikated dan lengkap, mungkin begitu senang anda mengeluarkan duit belanja tanpa berfikir panjang. Apatah lagi jika bayaran itu seperti;
Alah, baru je 10 ringgit. Tak luak kot."
Jadi sekarang anda fahamkan kenapa begitu ramai masyarakat kita mudah sangat terperangkap dengan pelbagai penipuan berbaur material daripada skim pelaburan cepat kaya sehinggalah menjadi parasit jualan MLM yang makan duit orang.
Itupun bukan main berapi-api mengutuk 'orang atas' korup itu dan ini. Ingat, pemimpin yang korup, dangkal pemikiran, ambil mudah dan gopoh itu datangnya dari anda - rakyat yang juga korup, dangkal pemikiran, ambil mudah dan gopoh.
Selamat beramal dan renung-renungkan. 😀
- Unit Hasutan dan Propaganda PANDULAJU
Leave a Reply