REKABENTUK model Lamborghini hari ini memang hebat dengan garis tajam dan agresif. Gaya sebegitu sebenarnya dimulakan Countach dan pernahkah anda terbayangkan bagaimana rupa awal model Lamborghini?
Satu contoh itu ialah Espada 400 GT dan menariknya itulah model Lamborghini pertama dengan 4-kerusi. Ya, Lamborghini bukan saja pernah menghasilkan kenderaan utiliti sukan (SUV), tetapi juga sudah ada model 4-kerusi.
BACA >>> Ferrari Tidak Akan Buat Kereta Sport Merah Jambu
Jadi, memang tiada masalah dengan legasi jika pengeluar supercar dari Itali tersebut berminat menawarkan model seumpama itu sekali lagi.
Lamborghini tahun ini meraikan enjin V12 yang menjadi trenkuasa model ikonik jenama itu dalam tempoh hampir 60 tahun dan Espada 400 GT adalah satu daripada model berkenaan. Enjin V12 akan ditamatkan pengeluaran tahun ini dan digunakan buat kali terakhir pada Aventador Ultimae.
Ini kerana bermula tahun depan, model pengganti Aventandor akan menggunakan enjin V12 dengan sistem hibrid plug-in (PHEV).
Ferruccio Lamborghini sejak awal penglibatan dalam pembuatan kereta mempunyai objektif jelas, iaitu mahu menghasilkan sebuah grand tourer (GT) terbaik sebagai kereta sport yang bukan saja pantas, tetapi juga selesa dengan kemasan mewah. Impian itu direalisasikan melalui Espada 400 GT yang ditayangkan kepada umum pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva (GIMS) pada Mac 1968.
Model ini mampu memuatkan empat dewasa dengan selesa dan ada banyak ruang untuk penumpang dan barang berbanding 400 GT 2+2 dan Islero 400 GT 2+2.
Seperti dimahukan Ferrucio, ruang dalaman Espada 400 GT tampil mewah dengan upholsteri kulit dan pelbagai kemasan mewah, termasuk pilihan penyaman udara. Stereng berkuasa juga diperkenalkan sebagai pilihan pada 1969 dan dijadikan ciri standard pada 1972. Dua tahun kemudian, transmisi automatik pula menyusul.
Ciri teknikal utama Espada ialah enjin V12 60º yang kali pertama kali diperkenalkan pada 1963 dengan sesaran 3.5L sebelum dipertingkat kepada 4.0L (3,929 cc) pada 1964. Enjin itu mempunyai kuasa 325hp @ 7,200rpm yang digunakan siri pertama Espada dan dipertingkat kepada 350hp @ 7,500rpm untuk Espada Series II (1970).
Enjin itu dipadankan bersama enam karburetor Weber 40 DCOE dengan nisbah mampatan 9.5:1 dan dipertingkat kepada 10.7:1 dan aci sesondol (camshaft) pacuan rantai pada Espada Series II dan ke atas. Berat enjin hanya 232kg kerana penggunaan meluas komponen aluminium seperti kepala silinder, kotak engkol dan piston.
Enjin Espada 400 GT juga dipasang sedikit ke depan berbanding model 350/400 GT sebelum itu bagi mendapatkan ruang dalaman lebih luas. Bukaan luas bonet aluminium juga memudahkan akses pengguna.
Dari segi prestasi, Espada ialah grand tourer pantas dengan kelajuan maksimum antara 245kmj -260kmj dan mampu mengekori model Miura yang lebih sporty dalam banyak situasi. Ketika diperkenalkan, Espada ialah kereta 4-kerusi terpantas dunia!
Casis Espada dibuat daripada model 400 GT dan dipanjangkan bagi mendapatkan jarak roda 2,650mm dan juga dilebarkan dengan jarak roda bertambah 149sm.
Espada 400 GT menggunakan empat suspensi independen dengan double wishbone dan spring.
Satu sejarah menarik apabila Espada 'Lancomat' dengan suspensi hidropneumatik ditayangkan pada Pameran Motor Turin 1968. Suspensi tersebut ditawarkan mengikut permintaan, tetapi dipilih beberapa pelanggan sahaja.
Espada menggunakan konsep rekabentuk berkotak dan hasil rekaan Carrozzeria Bertone dan sampai sekarang pun menarik diperhatikan pada setiap sudut. Memang jelas model itu dibuat untuk penumpang.
Ruang dalaman luas dengan ketinggian 119sm (atau 3.9 kaki) sahaja, manakala pakej dalaman menonjolkan praktikaliti yang berjaya menarik minat ramai dan mendapat sambutan hangat peminat Lamborghini.
Sebanyak 1226 unit Espada dikeluarkan dalam tiga siri, iaitu:
- 176 unit untuk Espada 400 GT Series 1 (1968 - 1969)
- 578 unit Espada 400 GTE Series II (1970 - 1972)
- 472 unit Espada 400 GTS Series III (1972 - 1978)
Menerusi kejayaan dan legasi Espada 400 GT, mungkin Lamborghini patut mengeluarkan model pengganti, iaitu sebuah grand tourer yang laju, mewah dan mampu memuatkan empat penumpang!
BACA >>> Lamborghini Jalpa (1982) - Model Ikonik yang Penuh Sejarah Selain Countach
BACA >>> Lamborghini Huracán Tecnica (2023) Berkuasa STO yang Hebat di Jalan Raya dan Litar!
Leave a Reply