DI PASARAN negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), segmen sedan kecil kini semakin berkurangan hingga membuatkan Mitsubishi memutuskan mahu menumpukan pasaran pengeluaran produknya kepada segmen crossover. Persoalannya, bagaimana pula masa depan sedan buatan pengeluar automobil Jepun itu?
Menurut laman permotoran Autoblog ketika bertanya isu tersebut kepada Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Mitsubishi bahagian Amerika Utara, Don Swearingan, pengeluaran Mitsubishi Mirage G4 akan dikekalkan dalam pasaran AS bagi memenuhi kehendak sedan yang masih ada, tetapi pengeluaran Mitsubishi Lancer akan ditamatkan pada Ogos ini.
PASARAN SEDAN MENGECIL
Swearingan berkata, baki stok dijangka bertahan selama beberapa bulan selepas pengeluaran berakhir dan diramalkan habis dijual menjelang musim panas ini - Jun 2017 - yang juga merupakan model akhir dikeluarkan Mitsubishi.
Menurutnya lagi, pasaran sedan sedang menguncup dan syarikat perlu memastikan sebarang produk baru yang dibangunkan dapat memberikan keuntungan. Disebabkan itulah Mitsubishi terus beralih tumpuan kepada pasaran crossover yang sedang meningkat dan setakat ini memang tiada sebarang rancangan terkini mengenai Mitsubishi Lancer baharu.
Sedar tidak sedar, model Mitsubishi Lancer terakhir dikeluarkan adalah pada 2007, kira-kira 10 tahun lalu dan hingga kini tiada sebarang tanda tentang kelibat model baharu itu. Sebagai makluman, pengeluar automobil tempatan, Proton pernah melakukan penjenamaan semula Mitsubishi Lancer generasi ke-10 (terakhir) di bawah jenama Proton Inspira pada 2010 hasil kolaborasi Proton-Mitsubishi dengan menampilkan dua varian, 2.0L dan 1.8L.
Apapun, peminat automotif pastinya merindui barisan sedan Lancer, dan mengharapkan sekurang-kurangnya Mitsubishi masih mahu menghasilkan Lancer Evolution.
SUMBER: Autoblog
Leave a Reply