ANGKA-Tan Motor memperkenalkan trak komersial ringan Foton Aumark S City Flyer versi 4-Roda serba baharu sebagai satu pendekatan melengkapkan portfolio tawaran trak dan memenuhi permintaan, khususnya kegunaan sektor logistik tempatan.
Firma itu adalah anak syarikat Warisan TC Holdings dan juga ahli Tan Chong Group. Ada dua varian Aumark S City Flyer diumumkan untuk pasaran Malaysia.
Angka-Tan mengesahkan menerima tempahan 20 unit trak berkenaan dan pra-tempahan masih dibuka. Sebagai permulaan, trak versi import (CBU) akan ditawarkan terlebih dahulu sebelum model pemasangan tempatan (CKD) dijual.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warisan TC Holdings, Tan Keng Meng berkata, Angka-Tan bercadang menguasai 3 hingga 5 peratus pegangan pasaran dalam segmen trak komersial ringan.
KENAPA TIADA BEG UDARA?
Seperti kebanyakan trak komersial 'mampu milik', siri terbaharu Foton juga TIDAK dilengkapi beg udara sebagai ciri keselamatan. Beg udara cuma ditawarkan sebagai opsyen tambahan yang sudah semestinya melibatkan tambahan wang.
Malah firma itu berpendapat tali keledar sudah mencukupi sebagai asas keselamatan untuk pemandu trak komersial.
Pengurus Besar Beiqi Foton Motor untuk Wilayah Asia Tenggara, Eric Wang menjelaskan senario mengenai beg udara pada trak Foton. Menurut, ada dua kategori pembeli trak yang perlu diketahui:
- Pemilik (bukan pemandu) lebih mementingkan aspek kos.
- Pemandu akan menumpukan aspek keselamatan.
Ini antara sebab banyak pengeluar, pengedar dan penjual trak tidak menjadikan tawaran beg udara sebagai ciri standard walaupun itu bukan syarat wajib. Apapun, pelanggan ada pilihan meminta tambahan beg udara jika mahu. Berikut perincian trak tersebut:
VARIAN DAN HARGA
Foton Aumark S City Flyer versi 4-Roda BJ1065 didatangkan dalam dua opsyen, iaitu:
- VDJD4 - RM93,900
- VDJD6 - RM95,900
* Harga disyorkan dan belum mengambil kira caj berkaitan.
* Waranti lima tahun atau jarak perbatuan 200,000km (mana satu tiba dulu).
* Perbezaan kedua-dua model itu membabitkan jarak roda, dimensi panjang, radius pusingan, berat kasar dan kapasiti tangki minyak.
TRENKUASA
- Enjin diesel 4-silinder sebaris 2.8L pengecas turbo dengan sistem penyejukan cecair dan teknologi suntikan bahan api, menawarkan kuasa 127hp @ 3,200rpm dan tork 310Nm @ 1,600-2,700rpm.
- Kotak gear manual 5-kelajuan dengan rekabentuk gear turbin dioptimumkan bagi membantu mengurangkan bunyi bising. Trenkuasa patuh emisi piawaian Euro3.
- Berat kasar 5.6 tan. Dimensi lebar 1,880mm dan tinggi 2,260mm.
- Sistem stereng hidraulik dengan sistem brek hidraulik berserta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).
- Memiliki binaan badan fleksibel dan ringan dengan menawarkan produktiviti dan kecekapan tinggi dalam operasi penggunaan harian.
Leave a Reply